Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin melakukan kerja-kerja diinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Masjid Al Falah Sungai Ramal Dalam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2020.

KAJANGĀ – Kesemua 47 zon merah dan jingga ekoran penularan Covid-19 telah disinfeksi hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kesemua kawasan itu terdiri daripada 23 zon merah dan 24 zon jingga.

“Hari ini 47 zon merah dan jingga serentak kita lakukan proses disinfeksi di seluruh negara termasuk Kluang, Simpang Renggam, Ulu Kinta dan Kota Bharu.

“Sungai Petani esok akan dilakukan. Hari ini semua 47 zon selesai disinfeksi,” katanya selepas meninjau proses disinfeksi di Sungai Ramal, hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin melakukan kerja-kerja diinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Masjid Al Falah Sungai Ramal Dalam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2020.

Zuraida mengambil masa kira-kira 30 minit untuk turun ke salah satu kawasan zon merah di Hulu Langat.

Beliau turut melakukan kerja-kerja disinfeksi di Masjid Al Falah.

Jelas Zuraida, pihaknya akan memfokuskan kepada kawasan zon merah dan jingga terlebih dahulu sebelum meliputi kawasan-kawasan lain.

“Kita akan fokus kepada zon merah dan jingga dahulu. Ini termasuk kawasan PPR di kawasan merah dan jingga,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pihak yang melakukan proses disinfeksi masih memerlukan 10,000 Kelengkapan Keselamatan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk kerja-kerja nyahkuman.

“Kita perlukan lagi 10,000 unit PPE kerana pakaian itu akan dibuang jika sudah dipakai. Jadi kita kena ganti.

“Itu sahaja kita perlu tambah, yang lain macam bahan kimia kita bancuh sendiri dalam negara.

“Sumber manusia dan peralatan kita sudah ada melalui bomba, Alam Flora, dan kita pakai mesin sembur yang digunakan denggi dahulu,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan bahan kimia yang digunakan, Zuraida melahirkan keyakinan bahawa bahan yang digunakan akan dapat membasmi kuman Covid-19.

“Saya tengok daripada contoh negara luar macam China, Turki dan negara lain telah buat operasi sebegini. Operasi disinfeksi ini melihat bahawa kadar kes positif Covid-19 menurun sehingga China boleh buka semua negaranya kepada aktiviti sediakala dengan syarat tertentu,” katanya. -MalaysiaGazette