Pelajar Antarabangsa Ihding Buchror (tengah) bersama rakan-rakannya semasa menerima bantuan makanan daripada UNITEN.

KUALA LUMPUR – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mengambil inisiatif menyediakan bantuan makanan percuma kepada pelajar yang tidak pulang ke kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor UNITEN, Datuk Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, penyediaan makanan percuma sebanyak dua kali sehari dalam tempoh PKP itu telah diagihkan kepada pelajar yang berada di asrama bermula 18 Mac lalu.

Katanya, terdapat seramai 400 pelajar yang masih berada di UNITEN iaitu 300 pelajar di Kampus Putrajaya dan 100 pelajar di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah,
Muadzam Shah Pahang.

Pemberian makanan oleh Prof Datuk Dr Ir Kamal Nasharuddin Mustapha.

“Penyediaan makanan percuma sebanyak dua kali ini disediakan pada jam 11 pagi dan 6 petang yang bertujuan menghadkan pergerakan pelajar serta membantu mereka terus kekal berada di dalam kampus.

“Ini ditambah pula dengan penyediaan makanan tambahan seperti biskut, air mineral dan juga pek makanan segera yang turut dibekalkan secara percuma kepada semua lapisan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Kamal, usaha dan inisiatif penajaan makanan percuma kepada pelajar ini digerakkan bersama oleh Tabung Amanah Zakat UNITEN (TAZU) dengan kerjasama Pusat Islam UNITEN, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UNITEN (STAD) dan Kelompok Penginapan di kedua-dua
kampus.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh mahasiswa supaya mematuhi arahan dan terus kekal berada di dalam kampus dalam tempoh PKP untuk mengurangkan penularan
wabak Covid-19.

Naib Canselor UNITEN membantu mengedarkan makanan kepada pelajar yang tinggal di penginapan.

“Semua pelajar perlu menggunakan ruang dan masa yang ada dengan sebaik-baiknya mengulangkaji pelajaran. Inisiatif UNITEN ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan seluruh warga UNITEN terjamin.

“Ini bagi memastikan pergerakan pelajar terkawal dan mengikut arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, bagi pelajar antarabangsa yang mengikuti kursus Intensif Bahasa Inggeris dan berasal dari Thailand, Ihding Buchror, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UNITEN atas keprihatinan pihak universiti menjaga kebajikan pelajar yang berada di dalam kampus.

“Bantuan bekalan makanan ini bukan sahaja mencukupi, malah berlebihan serta menepati selera. Selain bekalan makanan yang mencukupi, pihak UNITEN juga mengambil berat terhadap tahap kesihatan para pelajar. UNITEN turut menyediakan kemudahan rawatan kesihatan bagi pelajar yang tidak sihat di dalam universiti,” katanya.

UNITEN juga mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan e-Learning dengan aplikasi atas talian, berkuat kuasa serta merta dan pelaksanaan itu membabitkan operasi di kedua-dua kampus.

Kamal berkata, semua sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan secara dalam talian kepada semua pelajar.

“Arahan ini dikeluarkan sebagai langkah proaktif memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan secara teratur dan sistematik,” kata Kamal.

Pihak UNITEN yakin bahawa mereka tidak menghadapi masalah dalam melaksanakan PdP atas talian itu kerana para pensyarah dan pelajar UNITEN telah mempraktikkan pembelajaran atas talian sejak berkembangnya teknologi e-Learning ini di UNITEN.

UNITEN menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan perhimpunan di dalam dan luar kampus universiti ini selepas mengambil kira nasihat daripada
KKM.

Selain itu, staf pentadbiran dan teknikal juga dikehendaki melaksanakan kerja dari rumah kecuali staf yang menjalankan tugas berkaitan kepentingan universiti seperti pihak Keselamatan, Perkhidmatan IT & Multimedia dan Perkhidmatan Pembangunan & Pengurusan Fasiliti.

UNITEN menubuhkan sebuah Tabung Khas Bantuan Covid-19 bagi mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak untuk membantu pelajar yang terkesan serta
menampung sebahagian pengurusan pencegahan Covid-19.

Sepanjang tempoh PKP, pihak UNITEN juga telah membuka Bilik Gerakan Covid-19 UNITEN sebagai pusat rujukan pelajar dan sebarang pertanyaan atau bantuan boleh berhubung dengan pegawai yang bertugas.- MalaysiaGazette