KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat 0.9 peratus pada Februari 2020 kepada 105.9 berbanding 105.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan 1,063 item yang diliputi dalam IHPR, 42.4 peratus item menunjukkan peningkatan pada Februari 2020 berbanding Februari 2019.

Sebaliknya, 49.1 peratus item menunjukkan penurunan manakala 8.5 peratus item kekal tidak berubah.

Kenaikan indeks keseluruhan ini disumbangkan oleh peningkatan indeks pertanian, perhutanan & perikanan (9.2%), bekalan elektrik & gas (1.6%) dan pembuatan (0.8%).

Tetapi indeks perlombongan dan bekalan air, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 5.2 peratus dan 0.8 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menurun 1.3 peratus pada Februari 2020.

Penyusutan ini disebabkan oleh penurunan indeks perlombongan (-9.1%), pertanian, perhutanan & perikanan (-7.3%) dan Bekalan air (-0.6%).

Walau bagaimanapun, sektor bekalan elektrik & gas dan pembuatan, masing-masing mencatatkan peningkatan
0.3 peratus dan 0.1 peratus. – MalaysiaGazette