Beras, roti dan telur menjadi antara makanan yang mengalami kekurangan dalam pasaran pada masa ini.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekalan beras yang disimpan oleh pemborong-pemborong di negara ini masih mencukupi, lantaran itu tidak ada keperluan untuk orang ramai berasa panik.

Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM), Ismail Awang percaya bekalan yang ada cukup untuk enam bulan pertama.

”Tidak ada isu beras tidak cukup. Insya Allah cukup,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lagipun, menurut beliau, kerajaan mempunyai Stok Simpanan Negara sebanyak 600,000 metrik tan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Stok beras yang disimpan di Pelabuhan Klang, Kuantan (Pantai Timur), Prai (utara), Sabah dan Sarawak akan sentiasa dipastikan mencukupi untuk keperluan negara.

Beliau berkata, meskipun ada negara seperti Vietnam yang menghentikan kontrak pengimportan beras bagi memastikan simpanan negara itu mencukupi berikutan penularan wabak Covid-19 tetapi Malaysia tidak pernah bergantung dengan negara-negara tertentu.

Jelas beliau, selain mendapat bekalan 70% dalam negara, Malaysia turut mendapat bekalan dari Myanmar, Pakistan, India, Thailand dan lain-lain.

Malah, katanya, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) turut memiliki rakan-rakan strategik seperti di India untuk memastikan bekalan beras tidak terputus.

Ismail menegaskan, walaupun negara kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi kakitangan yang terlibat dalam sektor ini masih bekerja seperti biasa.

”Pemborong-pemborong masih membungkus beras dan menjalankan urus niaga memandangkan sektor ini adalah penting,” ujarnya.

Mengulas rungutan segelintir pembeli tentang kekurangan bekalan beras di beberapa pasar raya, beliau tidak menolak ia berpunca daripada pembelian panik oleh pengguna-pengguna.

“Penghantaran masih terus dilakukan kepada kedai-kedai, tiada pemberhentian walaupun semasa PKP. Tetapi disebabkan pembelian panik menyebabkan permintaan untuk makanan itu meningkat.

”Ia menyebabkan bekalan beras yang dijual habis cepat, lebih daripada kebiasaan.

”Sedangkan pengguna sepatutnya membeli seperti biasa kerana bekalan ada, tidak perlu bimbang,” tambahnya. – MalaysiaGazette