Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan kluster jemaah tabligh antara penyumbang utama kepada peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Hulu Langat, Selangor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan yang dilaksanakan pihak mendapati berlaku peningkatan kepada 91 kes positif khususnya di Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.

“Asalnya, kita dapati ada 71 kes, apabila kita masuk dua hari lepas, kita dapati ada peningkatan hingga 91 kes, satu kes di luar madrasah, dan 91 kes di dalam Batu 21 hingga Batu 24. Kluster besar kemungkinan sebab ada kaitan dengan jemaah tabligh.

“Dalam tempoh sebulan, jemaah tabligh telah menularkan penyakit ke generasi kedua, ketiga, keempat sehingga kelima. Jadi mungkin, ada di antara mereka, penduduk kampung di Hulu Langat ini atau Kampung Sungai Lui yang positif,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Terdahulu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Hulu Langat, Selangor berkuat kuasa tengah malam tadi hingga 13 April ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, arahan itu membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui.

Tindakan itu dibuat susulan nasihat KKM yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.

Sementara itu, mengulas perkembangan arahan PKPD di Simpang Renggam, Noor Hisham berkata, pihaknya akan melaksanakan 300 ujian saringan Covid-19 setiap hari di kawasan itu.

“Sekarang ini setiap hari kita boleh laksanakan 300 ujian untuk mereka dalam kumpulan sasaran KKM. Kita harapkan dalam tempoh 14 hari kita mungkin dapat kurangkan kes jangkitan Covid-19 di dua kampung tersebut.

“Kita jangka dalam masa 10 hari kita mungkin akan siapkan semua ujian tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette