rabies Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia dalam kes rabies (penyakit anjing gila) pertama untuk tahun ini di Bandar Sibu, Sarawak.

Perkembangan terbaharu itu merupakan kes ke-23 bagi wabak rabies di Sarawak sejak diisytiharkan di negeri itu 31 Julai 2017.

“Kes rabies terakhir yang dilaporkan di Sarawak adalah pada 8 November 2019, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, kanak-kanak perempuan itu pernah diserang dan digigit oleh anjing liar pada 8 Mac lalu di bahagian muka, mulut dan kelopak mata.

Katanya, bagaimanapun, luka gigitan tersebut tidak dicuci dengan aliran air bersih dan sabun sejurus selepas kejadian.

“Beliau kemudiannya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kanak-kanak itu juga telah mendapat suntikan vaksin anti-tetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) dan dua dos suntikan vaksin anti-rabies semasa dirawat di Hospital Sibu.

Pada 13 Mac lalu, beliau telah didiscaj dalam keadaan sihat. Dos ke-tiga vaksin anti-rabies telah diambil pada tiga hari selepas itu.

“Pada 24 Mac 2020, beliau telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu kerana demam dan seterusnya ke Hospital Sibu pada 25 Mac 2020 kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi,” katanya.

Kanak-kanak itu, katanya, telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut bagaimanapun keadaan bertambah teruk sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

“Punca kematian adalah rabies encephalitis,” katanya.

Sampel daripada kanak-kanak ini telah diambil pada 26 Mac lalu dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semalam.

Anjing liar yang mengigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac 2020 namun tiada sampel yang diambil.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  1. Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  2. Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  3. Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  4. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  5. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  6. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

“KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette