Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Syarikat insurans dan takaful di negara ini digesa menyegerakan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan pemegang polisinya di mana-mana fasiliti perubatan swasta di seluruh negara.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, sehingga kini kos ujian penyaringan itu masih perlu ditanggung pemegang polisi insurans dan takaful susulan ketiadaan pekeliling mengenainya setakat ini.

“Sehingga sekarang, pihak insurans tidak mengeluarkan apa-apa pekeliling lagi kepada ejen-ejen ataupun pemegang polisi mereka.

“Apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri ataupun Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia ini tidak dapat dilaksanakan.

“Termasuk lah saya sendiri, bila kita minta pihak insurans untuk tanggung kos ini, mereka tak boleh buat lagi kerana belum ada arahan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu, antara lain pihak industri insurans dan takaful mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta.

Dana khas itu bagi menanggung kos ujian penyaringan sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani ujian di fasiliti perubatan swasta.

Dalam pada itu, Jamal juga menggesa pengendali insurans dan takaful agar menyediakan garis panduan secapat mungkin bagi melancarkan pelaksanaan insiatif kerajaan itu.

“Saya berharap pihak insurans kena buat satu garis panduan tentang pengumuman telahpun dibuat oleh Perdana Menteri itu.

“Mereka berperanan dan tanggungjawab untuk membantu kerajaan dalam memastikan pemegang polisi mereka ini sentiasa mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette