Foto Twitter Fazura.

KUALA LUMPUR – Pelakon Nur Fazura memberitahu tangan kanannya yang melecur akibat terkena percikan minyak panas ketika memasak dalam proses pemulihan.

Menerusi Twitter miliknya, Fazura menunjukkan keadaan terkini tangannya itu yang mulai sembuh secara perlahan.

“Bagi yang penuh kasih-sayang serta prihatin tanya pasal keadaan tangan Faz, ni gambar terkini. Slowly recovering. InsyaAllah tak lama lagi sembuh ni. Mudah-mudahan.. Amin! Terima kasih sebab selalu tanya khabar dan doakan,” tulisnya.

Minggu lalu, suaminya, Fattah Amin menerusi Instagram (IG) Story berkongsi berita malang itu kelmarin ketika isterinya sedang memasak.

“Secara tiba-tiba minyak panas meletup lalu terkena tangan kanan saya.

“Sebelum ini, tidak pernah pula berlaku, tapi benda hendak jadi. Fattah banyak kali mengajak saya ke hospital. Tapi mengenangkan keadaan sekarang dan bimbang hendak ke hospital pada waktu kritikal begini, saya cuba ubati sendiri,” katanya kepada media.

Menurut Fazura atau lebih mesra disapa Faz, pada awalnya dia takut melihat ada gelembung pada pergelangan tangan berikutan percikan minyak panas itu.

Namun, selepas memecahkan gelembung berkenaan dan menyapu ubat pada bahagian yang melecur, ia mula menunjukkan perubahan positif.

“Selepas saya pecahkan gelembung itu dan sapu minyak gamat, Alhamdulillah, nampak kesan luka itu semakin mengering. Terima kasih kepada peminat yang memberi pelbagai petua untuk diamalkan… Saya sangat menghargainya,” kata pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia (FMM) Ke-27 ini.

Masih trauma dengan insiden di dapur, penyanyi yang popular dengan lagu Sayangi Dirimu ini berkata, dia berehat seketika daripada aktiviti memasak. – MalaysiaGazette