Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini bersetuju untuk melantik dua tokoh ekonomi dari Sabah dan Sarawak sebagai anggota Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

Perkara itu disahkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini.

“Mereka ialah Datuk Bridget Lai @ Bridget Anne Chin Hung Yee, seorang tokoh perbankan terkenal di Sabah dan Datuk Abang Halmi Ikhwan, iaitu Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak.

“Pelantikan itu menjadikan jumlah terkini anggota EAC ialah seramai 13 orang,” kata PMO hari ini.

Dalam pada itu, Mesyuarat EAC juga memberi tumpuan khusus terhadap pandangan serta rungutan daripada kalangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang
berhadapan cabaran sangat getir berikutan wabak COVID-19.

“Bagi meringankan beban penyewa, semua pemilik premis perniagaan swasta atau persendirian digesa mempertimbangkan pemberian diskaun, penangguhan atau
pengecualian bayaran sewa ke atas peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan.

Unit LAKSANA Kementerian Kewangan juga turut membentangkan laporan
pemantauan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan bagi memastikan
objektif yang digariskan kerajaan tercapai,” kata pejabat Perdana Menteri itu lagi.

EAC ditubuhkan sebagai langkah segera untuk menangani cabaran ekonomi negara yang tidak menentu berikutan penurunan harga minyak dan impak Covid-19.

EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bersidang setiap Isnin.

Majlis berkenaan dianggotai Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli lain EAC termasuk Gabenor Bank Negara dan beberapa individu yang mahir dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette