KUALA LUMPUR- Sememangnya penularan wabak Covid-19 merupakan satu ujian cukup getir kepada semua pihak bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Malah timbul juga persoalan apakah situasi yang bakal dihadapi selepas Covid-19 ini berakhir?

Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan periuk nasi rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah yang pasti kesan ekonomi akan memberi impak buruk kepada mereka.

Ahli Majlis Tertinggi Pusat MIC (CWC) merangkap Pemangku Ketua Bahagian MIC Larut, Veeran Muniandy terpanggil untuk membicarakan perkara itu kerana rata-rata mereka mungkin ada yang akan kehilangan kerja.

“Sebenarnya, yang makan gaji dengan kerajaan dan syarikat gergasi mungkin kesannya sedikit minimal tetapi bagaimana pula dengan yang bekerja dengan syarikat kecil? Mungkin ada syarikat boleh bertahan tetapi ramai juga yang terkesan akan bertindak memgecilkan operasi.

“Ini sekaligus akan membawa kepada pembuangan pekerja dan pengurangkan mahupun pemotongan gaji.

“Tentu sekali kumpulan terjejas ini bukan sedikit dan pastinya tidak boleh diserap kerja kerajaan mahupun syarikat-syarikat gergasi ini sekaligus.

“Jadi apakah sebenarnya nasib mereka yang bakal pekerja ini dalam satu jumlah besar? Sebelum ini juga ada satu kaji selidik mendakwa lebih 2 juta rakyat hilang kerja. Setakat mana golongan ini akan bertahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Veeran, seandainya keadaan terdesak pasti golongan hilang kerja itu akan berhijrah ke sektor pekerjaan lain yang mungkin juga mereka tidak mahir lagi.

“Apapun sektor yang akan mereka ceburi tentunya memerlukan kemahiran dan modal. Kemahiran pula memerlukan latihan, berapa lama perlu mereka menjalani latihan untuk menimba kemahiran sebelum terlibat ke sektor yang mereka pilih.

“Malah selain daripada kemahiran mereka juga memerlukan modal. Adakah mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk di jadikan modal, adakah mereka layak mendapatkan pinjaman modal daripada institusi bank yang kita semua tahu bukan mudah malah pastinya mungkin memerlukan cagaran,” katanya.

Veeran juga menyentuh persoalan golongan yang sebelum ini berniaga kecil-kecilan dan berpendapatan sekadar ala kadar sahaja bagi menangani kesan ekonomi akibat Covid-19.

“Mungkin bagi yang masih mempunyai simpanan boleh terus memulakan kembali perniagaan mereka selepas ini tetapi bagaimana pula kuasa membeli rakyat selepas ini?

“Masih sama atau akan berkurangan sebelum perlahan-lahan kembali normal. Berapa ramai di kalangan mereka yang sudah kehabisan wang simpanan sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di rumah serta tidak mempunyai modal untuk kembali memulakan perniagaan mereka selepas ini.

“Berapa ramai daripada mereka ini yang boleh bergantung kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai untuk membantu memulakan kehidupan seperti biasa?

“Kalau pun ada aset yang boleh dicairkan, apakah ianya mudah untuk dicairkan dalam keadaan ekonomi negara yang lembab pada masa ini,” ujarnya.

Soal Veeran lagi, apa pula terjadi dengan keperluan makanan asas di rumah seisi keluarga bagi golongan yang sama.

“Adakah lagi bantuan kerajaan sebaik selepas tamatnya PKP kelak? Jika tiada lagi bantuan daripada kerajaan di manakah tempat mereka memohon belas dan harap sementara tunggu memulakan perniagaan mereka.

“Saya lebih daripada pasti ramai akan bergantung harap kepada kerajaan yang ada kini untuk membantu. Ini juga termasuk kerajaan negeri termasuk kerajaan tempatan.

“Ketika ini, pada setiap peringkat kerajaan perlu mula memikirkan langkah dan tindakan yang sewajarnya bagi golongan ini. Sudah pasti kerajaan harus memulakan perundangan dan umumkan pakej yang benar-benar dapat membantu kumpulan ini,” katanya.

Setakat ini, menurutnya, semua berterima kasih dengan Pakej Prihatin yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dan ianya mengurangkan sedikit sebanyak bebanan.

“Usaha-usaha perlu dilakukan daripada sekarang lagi apatah lagi pasti ramai di luar sudah bimbang dan susah hati mengenangkan nasib mereka pada masa akan datang.

“Mereka memerlukan bantuan daripada kerajaan sebaik sahaja wabak ini berakhir kerana semua orang akan kembali kepada kehidupan biasa yang pastinya memerlukan kerja dan wang untuk teruskan kehidupan.

“Kerajaan perlu bantu beri kemudahan pinjaman kepada golongan ini bagi memulakan kembali perniagaan yang terjejas sebelum ini.

“Walaupun sudah ada pakej bantuan yang di umumkan tetapi ianya mungkin tertumpu kepada sektor SME atau perniagaan bersaiz sederhana. Bagaimana pula nasib penjual goreng pisang, jual nasi lemak atau burger juga peniaga warung dan kiosk tepi jalan.

“Bilangan mereka juga ramai dan modal mereka mungkin hanya sekitar RM5,000 dan ke bawah sahaja,” katanya lagi.

Sambung Veeran, ada juga golongan itu juga tiada cagaran untuk diberikan malah ramai juga bukan celik IT, tiada kemahiran membaca serta menulis.

“Pastinya mereka tidak ada pilihan melainkan meletakkan harapan tinggi menggunung kepada kerajaan untuk membantu mereka. Bantulah mereka kerana mereka juga punyai keluarga dan tanggungjawab besar serta berat. Tolonglah bantu mereka,” ujarnya. -MalaysiaGazette