Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA- Golongan berusia 56 hingga 60 tahun merupakan mereka yang paling ramai dijangkiti wabak Covid-19 di negara ini.

Golongan bagi usia tersebut kini sudah mencecah bilangan 182 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, antara faktor golongan tersebut dijangkiti virus adalah disebabkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Mungkin mereka adalah ketua rumah yang sering keluar (untuk urusan keluarga),” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Tambah Noor Hisham, golongan berusia 26 hingga 30 tahun pula merupakan yang kedua tertinggi dijangkiti wabak yang kini menjadi pandemik itu.

“Sebanyak 180 kes positif dikesan melibatkan golongan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, golongan muda itu dijangkiti Covid-19 kemungkinan kerana sering keluar daripada rumah walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Noor Hisham memberitahu, seramai sembilan bayi di bawah umur 12 bulan dan 50 kanak-kanak berusia antara 13 bulan hingga 10 tahun dijangkiti wabak berkenaan.

Bagaimanapun katanya, keadaan mereka stabil dan setakat ini tiada yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) mahupun memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai kepatuhan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah, beliau berkata, sebanyak 75 hingga 80 peratus daripada orang ramai patuh dengan arahan tersebut.

“Kita dapati (masih) ada antara mereka yang masih melanggar perintah tersebut,” ujarnya.

Justeru kata Noor Hisham, kerajaan akan menempatkan mereka di pusat kuarantin.

“Jika sebelum ini mereka yang tiba dari luar negara dan negatif ujian saringan Covid-19 diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah, namun sekarang kita tempatkan mereka di pusat kuarantin sehingga 14 hari,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat individu yang berada di bawah pengawasan tersebut tidak menyedari mereka dijangkiti Covid-19.

Namun katanya, mereka telah melanggar perintah tersebut apabila berhubungan secara rapat dengan individu lain mahupun keluar dari rumah.

Beliau berkata, sebanyak 334 pusat kuarantin disediakan bagi tujuan itu di seluruh negara.

“Ini bagi membendung penularan jangkitan Covid-19,” tambah beliau. – MalaysiaGazette