KUALA LUMPUR – Institut Ejen Harta Tanah Malaysia (MIEA) menyeru agar kerajaan memberi kelonggaran terhadap sektor hartanah, terutamanya ejennya yang turut terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 sekarang.

Presiden MIEA, Lim Boon Ping berkata, PKP telah menyebabkan urus niaga syarikat berkaitan hartanah terhenti kerana mereka tidak dapat membantu pembeli rumah menguruskan hartanah milik mereka, tidak boleh membawa pembeli melihat rumah dan menyenaraikan hartanah untuk dijual atau disewa secara fizikal.

“Kira-kira 25,000 ejen dan perunding adalah seperti rakyat Malaysia yang lain yang turut terjejas dari segi moral dan kewangan kerana kebanyakan ejen tidak mempunyai gaji pokok dan bergantung kepada komisen. Kami bimbang bahawa pasaran telah berubah dan strategi baharu perlu dirangka untuk membantu mengimbangi perubahan tersebut, “katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara langkah-langkah yang MIEA harap kerajaan akan pertimbangkan ialah meletakkan cukai jualan dan perkhidmatan untuk urus niaga hartanah dalam keadaan tidak aktif sehingga akhir tahun untuk membantu penjual daripada menghadapi kos tambahan.

“Kami juga berharap cukai keuntungan hartanah dapat disifarkan sehingga akhir tahun ini untuk membantu meningkatkan pasaran hartanah yang sudah jatuh. Ini akan membantu mengurangkan kerugian bagi penjual yang akan menghadapi permintaan harga rendah daripada pembeli,” katanya.

Lim berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan untuk membenarkan pemindahan 10 peratus daripada dana dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Akaun 2 untuk menyediakan kecairan bagi pembelian rumah atau bantuan dalam membayar balik pinjaman selepas moratorium pembayaran balik bagi tempoh enam bulan .

Dari segi bantuan, beliau berkata, MIEA berharap manfaat disediakan untuk pemandu e-hailing dan pemberian subsidi bagi mereka yang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan dan isi rumah yang memperoleh pendapatan bulanan sehingga RM4,000 juga akan secara automatik dapat berurusan dengan ejen hartanah yang berdaftar.

“MIEA juga meminta semua syarikat portal hartanah bahawa industri hartanah telah menyokokong sepenuhnya untuk memberikan insentif dan pakej faedah yang menguntungkan bagi ejen sepanjang tahun bagi meningkatkan perbelanjaan pengiklanan mereka yang seterusnya dapat membantu memasarkan hartanah untuk pelanggan mereka,” katanya.

Pada hari Jumaat, minggu lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berpusat RM250 bilion dengan tujuan menjaga kebajikan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi semasa waktu sukar ini. – MalaysiaGazette