KUALA LUMPUR – Penutupan estet kelapa sawit dan operasi kilang minyak sawit di tiga daerah tambahan di Sabah berikutan peningkatan kes Covid-19 menimbulkan kebimbangan kepada industri tersebut.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) dalam satu kenyataan bersama berkata, penutupan operasi di tiga daerah tambahan semalam melibatkan 65 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman ditanam sebanyak 1.2 juta hektar dan 75 peratus daripada pengeluaran di Sabah.

Ia turut menjejaskan kira-kira 100,000 pekerja.

Menurut MPOA dan MEOA, industri itu memahami kebimbangan kerajaan negeri tentang peningkatan trend Covid-19 di Sabah dan langkah-langkah yang diambil untuk membendungnya tetapi pada masa sama industri turut prihatin terhadap impak sosial daripada keputusan penutupan tersebut.

Lebih-lebih lagi terhadap impak kepada industri, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat susulan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di estet dan kilang sawit di Kalabakan, Semporna, Kunak, Tawau, Lahad Datu and Kinabatangan sehingga 14 April ini.

Dalam pada itu, persatuan-persatuan tersebut turut melahirkan kebimbangan jika setiap pekerja tidak dibenarkan keluar, akan berada berjam-jam di rumah tanpa mengamalkan penjarakkan sosial, sekali gus mendedahkan mereka kepada virus.

Selain itu, mereka turut bimbang jika para pekerja meninggalkan estet dan kilang untuk mencari pekerjaan di tempat lain atau pulang ke negara masing-masing.

Paling membimbangkan, jika operasi bermula semula, kekurangan pekerja akan menjadi cabaran kepada industri ini nanti.

Malah, syarikat-syarikat juga tidak mampu membayar gaji pekerja-pekerja yang tidak bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

”Ini tidak termasuk kerugian pendapatan sebanyak RM860 juta susulan penutupan estet dan kilang di Sabah, selain kerugian sebanyak RM57 juta dalam pendapatan cukai daripada 7.5% cukai jualan dalam minyak sawit yang boleh digunakan untuk menangani penularan Covid-19,” katanya.

MPOA dan MEOA sudah pun memberi komitmen untuk mematuhi penularan virus ini mengikut garis panduan dan standard prosedur operasi di semua estet dan ladang-ladangnya. – MalaysiaGazette