Menara City One.-Gambar FB

PUTRAJAYA – Peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak di Menara City One di sini menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan (PKPD) dikenakan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati sebanyak 17 kes dilaporkan di apartmen berkenaan yang mempunyai kaitan dengan indeks kes individu yang menghadiri perhimpunan jemaah Tabligh di Sri Petaling.

Katanya, individu yang dijangkiti kemudiannya telah menyebarkannya pula kepada ahli keluarga lain.

“Jadi yang terlibat adalah sebanyak tiga apartmen dan kes terlibat (individu) telah menjangkiti ahli keluarga lain, jadi kebanyakan yang terlibat adalah tiga apartmen.

“Tindakan kita apabila ada kes yang mendadak jadi langkah PKPD akan dilakukan untuk kawasan tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama Noor Hisham berkata, faktor kedua yang menjadi penyumbang kepada peningkatan wabak berkenaan di kawasan itu berkemungkinan melibatkan pelajar ataupun mereka yang kembali dari luar negara serta individu yang sering keluar walaupun sekatan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, perkara sama mungkin berlaku terhadap mereka yang keluar untuk membeli barang dan sebagainya.

“Kita kena lihat kawasan itu, kita kena siasat setiap apartmen dan kita akan buat screening. Kita dah mula malam semalam,” ujarnya.

Semalam, kerajaan melaksanakan PKPD terhadap Menara City One ekoran terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19 direkodkan di kawasan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes tersebut dan kerajaan atas nasihat menteri kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga PKPD.

PKPD ini melibatkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu. – MalaysiaGazette