Ketua Pengarah Majils Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail.

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Institut Sukan Negara (ISN) melalui Jawatankuasa Bertindak Covid-19 telah melaksanakan beberapa tindakan berikutan status atlet olahraga negara, Jackie Wong yang disahkan positif Covid-19 pada 16 Mac lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmas Shapawi Ismail berkata, semua pusat latihan di Bukit Jalil dan di luar Bukit Jalil telah ditutup sepenuhnya serta semua atlet – atlet termasuk dengan atlet para yang di bawah program latihan sepenuh masa MSN telahpun pulang ke rumah masing – masing.

Bagaimanapun, katanya, terdapat seramai 107 orang atlet, jurulatih dan pegawai yang terpaksa melalui proses kuarantin sama ada di Casa 1, MSN atau supervised self-quarantine di rumah masing-masing.

Tindakan itu diambil berdasarkan situasi semasa beberapa kluster iaitu kluster 1 (kumpulan atlet dan pegawai yang mempunyai hubungan kontak primer (rapat) bagi tempoh 1 hingga 10 Mac 2020 dengan Jackie Wong), kluster 2 (Kumpulan atlet 2 yang mempunyai hubungan kontak sekunder (tidak langsung) bagi tempoh 1 hingga 10 Mac 2020 dengan Jackie Wong) dan kluster 3 (Kumpulan atlet dan pegawai yang langsung tidak mempunyai hubungan kontak dengan Jackie Wong serta baru pulang dari luar negara sama ada menyertai pertandingan ataupun selepas mengikuti latihan di luar negara.

“Sehingga 30 Mac ini daripada 107 yang dikuarantin, seramai 86 orang telah menjalani ujian sama ada melalui Pejabat Kesihatan Daerah ataupun pihak swasta dan keputusan ujian yang diperolehi adalah negatif.

“Manakala baki 21 orang yang tidak perlu melakukan ujian juga adalah telah bebas dari proses ‘home quarantine’ apabila tidak menunjukkan sebarang gejala setelah tamat proses kuarantin selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai status kesihatan Jackie, atlet baling tukul besi itu kini sedang dirawat di Hospital Sibu, Sarawak, kata Ahmad Shapawi.

Pihak MSN juga telah mendapat makluman daripada beliau bahawa keputusan sampel ujian kali ketiga beliau yang diambil pada 28 Mac lalu menunjukkan keputusan negatif.

Pun begitu beliau masih perlu melalui ujian kali terakhir yang telah dibuat pada 30 Mac lalu untuk menentukan beliau benar-benar bebas dari jangkitan berkenaan dan keadaan beliau ketika ini adalah sihat.

Justeru jelasnya, bagi tujuan pencegahan juga pihak MSN dan ISN telah melakukan proses sanitasi peringkat pertama pada 17 Mac 2020 melibatkan kawasan – kawasan yang dikunjungi oleh Jackie Wong serta proses sanitasi peringkat kedua telah dilakukan pada 24 Mac lalu dan peringkat ketiga pada 25 Mac lalu melibatkan keseluruhan Kompleks MSN, ISN dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil.

“Sememangnya harapan kita agar tiada lagi jangkitan yang akan melibatkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan terus ke hospital mahupun pejabat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut jika terdapat apa – apa simptom yang ada kaitan dengan virus Covid-19 ini.

“Atlet- atlet perlu terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program latihan yang telah dibekalkan oleh jurulatih masing- masing.

“Semua atlet dan jurulatih serta pegawai sukan diminta untuk mematuhi segala arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette