Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerahkan Jalur Gemilang sebagai simbolik perasmian Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

ALOR GAJAH – Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 berlangsung meriah hari ini dengan pelbagai aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kemasyarakatan yang menghimpunkan masyarakat setempat serta pengunjung di kawasan pantai berkenaan.

Lebih menarik, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, turut menyantuni rakyat dan meninjau sendiri pelbagai aktiviti yang berlangsung sepanjang program berkenaan.

Antara pengisian utama ialah Tanjung Bidara Surfcasting Challenge 2026 yang menghimpunkan kaki pancing dalam pertandingan memancing, selain pertandingan memasak, gubahan dan Pertandingan Sketsa Acara Pentas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyantuni orang ramai pada Tanjung Bidara Surfcasting Challenge 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

Suasana santai turut dapat dilihat apabila Ab Rauf mengambil kesempatan bermain dam aji bersama rakyat, selain beramah mesra dengan penduduk yang hadir.

Penganjuran pelbagai aktiviti itu menjadikan kawasan Pantai Tanjung Bidara bukan sahaja meriah dengan pengunjung, malah menjadi ruang pertemuan masyarakat bersama pemimpin dalam suasana lebih santai dan dekat dengan rakyat.

Petang ini, Ab Rauf turut dijadual meluangkan masa bersama masyarakat dalam Program Rewang Kenduri Rakyat, termasuk menyantuni peserta serta menikmati suasana gotong-royong yang menjadi antara pengisian menarik pesta berkenaan.

Program pada sebelah petang turut diteruskan dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Laga Badai Selat Melaka DUN Tanjung Bidara.

Kemuncak Pesta Pantai Tanjung Bidara dijadual berlangsung malam ini menerusi Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Pesta Pantai Tanjung Bidara, selain Perasmian Festival Seni Selat & Sungai Melaka Tahun 2026.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyaksikan persembahan silat pada Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

Majlis berkenaan dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam di Pentas Utama Lapangan Tanjung Bidara Airstrip, Kem Terendak.

Namun kemeriahan pesta tidak terhenti setakat hari ini apabila pelbagai acara sukan pantai, permainan tradisional dan aktiviti santai untuk seisi keluarga turut dijadual berlangsung esok.

Antara aktiviti yang disediakan ialah gusti lengan, tarik tali, galah panjang, bola tampar, bola jaring, sepak raga dan bola sepak pantai.

Pengunjung juga boleh menyertai permainan tradisional seperti congkak, dam aji dan karom, selain aktiviti santai termasuk terompah gergasi, bowling pantai, tarik upih dan lari dalam guni.

Kesemua aktiviti itu dijadual bermula jam 8 pagi esok di Pantai Tanjung Bidara, sekali gus memberi peluang kepada keluarga dan masyarakat setempat meneruskan kemeriahan pesta dalam suasana santai di kawasan pesisir pantai.

Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 bukan sahaja menjadi medan riadah dan hiburan, malah menghidupkan semula permainan tradisional serta semangat kebersamaan masyarakat, di samping memberi ruang kepada kepimpinan negeri untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan rakyat. – MalaysiaGazette

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bergambar dengan pengunjung pada Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here