Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengguna-pengguna domestik diingatkan menggunakan elektrik secara berhemah meskipun kerajaan telah mengumumkan diskaun elektrik berperingkat dalam pakej rangsangan ekonomi berikutan penularan virus Covid-19.

Ini bagi mengelakkan pembaziran dan mengoptimumkan manfaat diskaun.

Tenaga Nasional Berhad berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, penggunaan elektrik di kediaman bakal meningkat kerana isi rumah menggunakan elektrik yang lebih kerap atau lebih lama dari kebiasaan.

Peningkatan sebenar penggunaan elektrik ini hanya akan diketahui selepas berakhirnya pelaksanaan PKP kerana TNB menangguh sementara pembacaan meter dan menggantikannya dengan bil anggaran bagi mematuhi arahan PKP.

Diskaun berperingkat untuk pengguna domestik selama enam bulan bermula hari ini, 1 April 2020 diumumkan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan bagi mengurangkan beban kepada rakyat akibat langkah PKP bagi menangani Covid-19.

PKP yang mula diperkenalkan pada 18 Mac lalu, disambung dua minggu lagi sehingga 14 April 2020.

Diskaun sehingga 50 peratus diberikan kepada pelanggan domestik/kediaman dengan penggunaan elektrik hingga 200 kWj sebulan, 25 peratus bagi penggunaan elektrik antara 201 hingga 300 kWj dan 15 peratus bagi penggunaan elektrik antara 301 hingga 600 kWj.

Penggunaan elektrik melebihi 600 kWj pula mendapat diskaun dua peratus.

Katanya, untuk mendapatkan diskaun yang optimum, pengguna perlu menggunakan elektrik secara berhemah.
Pengguna boleh mengimbangi keperluan menggunakan peralatan elektrik dengan selesa tanpa pembaziran menerusi beberapa tip mudah berikut:

1. Memastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik. Menggunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi (contohnya, antara 24 ke 26 darjah Celcius) bagi menjimatkan tenaga;

2. Membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan. Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa;

3. Mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh;

4. Mengurangkan penggunaan pengering pakaian. Ambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semulajadi;

5. Menanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta tidak membiarkan peralatan elektrik seperti kipas dibiarkan terpasang di dalam bilik yang kosong;

6. Sekiranya mandi menggunakan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian. – MalaysiaGazette