KWSP melancarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) untuk memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik global itu.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Senarai Kelayakan Tahunan Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana-dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) berkuatkuasa hari ini.

Bagi tempoh 2020/2021, sebanyak 376 dana daripada 20 IPD telah diluluskan di bawah SPA KWSP.

Daripada jumlah 376 itu, hanya 280 dana layak ditawarkan kepada ahli KWSP.

Daripada jumlah tersebut, 202 dana (72 peratus) adalah dana tempatan di mana 101 dana (50 peratus) adalah dana ekuiti.

Menurut Ketua Pegawai Pelaburannya, Rohaya Mohammad Yusof, entiti itu akan menilai dana unit amanah ini berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan KWSP dan telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

“Langkah ini bertujuan memastikan hanya dana yang mempunyai prestasi yang baik akan ditawarkan kepada ahli.”

“Berikutan ketidakpastian pasaran untuk tahun ini, KWSP memutuskan untuk mengekalkan Purata Mudah Untuk Pulangan Konsisten (Simple Average Rating for Consistent Returns) atau SACR pada 2.33.

“Skor ini akan dikaji semula dan dikemaskini kepada skor yang lebih tinggi pada masa hadapan sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rohaya menasihatkan ahli untuk membuat kajian terperinci atau mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum menyertai skim ini.

“Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ianya bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu,” tegasnya.

Untuk mendapatkan senarai penuh dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh rujuk laman sesawang KWSP di https://www.kwsp.gov.my/member/investment.

– MalaysiaGazette