Orang ramai dinasihatkan berhatai-hati ketika membeli makanan di bazar Ramadan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat masih terlalu awal untuk kerajaan membenarkan bazar Ramadan dibuka atau membenarkan rakyat pulang ke kampung untuk berhari raya.

Jelasnya, jika berlaku penurunan sekali pun terhadap trend wabak Covid-19 dalam tempoh 14 hari akan datang, semua pihak masih perlu berhati-hati.

“Penyakit Covid ini berbeza dengan yang lain kerana virus ini mula merebak sebelum mereka yang sudah dijangkit menunjukkan apa-apa gejala.

“Seseorang yang telah dijangkit tidak akan sedar mereka sedang menjangkiti orang tersayang mereka.

“Inilah bahaya Covid-19.

“Jika dibenarkan pun (bazar Ramadan dibuka dan rakyat pulang ke kampung berhari raya) kerana kes Covid baru mula menurun, langkah berjaga-jaga mestilah pada tahap paling tinggi dan zon hotspot Covid-19 mesti terus diletak di bawah perintah kawalan pergerakan.

“Kita semua perlu faham dan berkorban sedikit dalam musim Hari Raya tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Najib, rakyat perlu banyak bersabar dan bertahan terutama jika wabak Covid-19 masih merekodkan jumlah kes positif baharu yang tinggi.

Katanya, rakyat perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Iran apabila rakyat negara tersebut menolak nasihat kerajaan supaya tidak berkumpul dan kunjung-mengunjung ketikan sambutan Perayaan Nowruz (Tahun Baharu Iran) pada 20 Mac lalu.

Sedangkan sebelum itu, Iran adalah sebuah negara yang masih belum mencatatkan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Bagaimanapun kes meningkat dengan mendadak selepas kira-kira 1.2 juta daripada 81 juta rakyat negara berkenaan tidak mematuhi nasihat kerajaannya.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Tolong selesaikan masalah yang ada di tangan dahulu. Saranan saya kepada Menteri WP, tolong diam dan buat kerja.Jangan pandai-pandai keluarkan statement.

Comments are closed.