Gambar hiasan

RIYADH – Umat Islam diminta menunggu sehingga satu tempoh masa yang jelas mengenai situasi pandemik koronavirus sebelum merancang untuk mengerjakan haji pada tahun ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Menteri Haji selepas Arab Saudi menggantung kedatangan jemaah umrah pada awal bulan ini susulan penularan koronavirus di negara itu.

“Arab Saudi sudah sepenuhnya bersedia untuk menerima jemaah umrah dan Haji tetapi pada keadaan semasa kita sedang bercakap mengenai pandemik global.

“Negara ini sangat prihatin dalam melindungi kesihatan umat Islam. Jadi kami meminta umat Islam dari semua negara bersabar dahulu sehingga keadaan selamat,” katanya dalam siaran televisyen.

Setakat ini pun, pihak berkuasa Arab Saudi belum membuat pengumuman sama ada ibadah haji akan diteruskan atau sebaliknya.

Mengikut jadual, Arab Saudi dijangka menerima jemaah haji mulai bulan Julai ini.

Namun, penularan wabak koronavirus merentasi dunia kini mengekang orang ramai untuk berhimpun secara beramai-ramai.

Setiap tahun sejumlah 2.5 juta orang umat Islam akan mengerjakan haji.

Arab Saudi kini sedang meningkatkan usaha membendung jangkitan Covid-19 yang telah menjangkiti 1,563 orang rakyatnya dengan 10 kes kematian. – MalaysiaGazette