Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim menyerahkan sumbangan UTeMShield kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Ismail Ali.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyerahkan sumbangan UTeMShield berjumlah 1,150 unit pelindung muka, dua unit kotak intubasi dan 2000 pasang sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri di Wisma Persekutuan baru-baru ini.

Pelindung muka ini dihasilkan sepenuhnya oleh para penyelidik UTeM menggunakan teknologi laser sinthering printing dan laser printing bagi membantu para petugas perubatan di hospital-hospital dan premis-premis perubatan di negeri Melaka.

Anggota Keselamatan yang bertugas dalam operasi sekatan jalanraya di Melaka turut menerima UTeMShield daripada UTeM.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Raha Abdul Rahim berkata, sumbangan UTeMShield beserta kotak intubasi ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti membantu dalam kapasiti kepakaran penyelidikan dan peralatan yang terdapat di UTeM.

“Sepanjang tempoh krisis ini, kami di UTeM sentiasa mengikuti perkembangan dan usaha pasukan barisan hadapan Negara dalam menangani penularan virus Covid-19.

”Kami turut terkesan dengan pengorbanan mereka yang terlibat dan melalui kepakaran yang kami miliki, kami pastikan sumbangan UTeMShield ini dapat membantu petugas hadapan yang bertugas di hospital, klinik-klinik kesihatan, anggota keselamatan dan para sukarelawan yang memerlukan,” tambah beliau.

Sehingga kini, UTeM telah menghasilkan lebih 1,200 unit UTeMShield yang turut disumbangkan kepada para anggota keselamatan yang bertugas dalam operasi sekatan jalanraya di seluruh Melaka.- MalaysiaGazette