Gambar hiasan

DUNIA kini sedang giat melakukan pelbagai usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Setakat 28 Mac 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan lebih 2000 kes positif Covid-19 dan tren ini dijangka meningkat menjelang April 2020.

Di sebalik usaha kerajaan dalam mempersiapkan jentera untuk menghadapi gelombang Covid-19., saban hari rakyat disajikan dengan berita palsu di media sosial. Tidak salah jika penulis katakan bahawa penyebaran berita palsu berlaku begitu pantas jika dibandingkan dengan berita sebenar.

Sebagai contoh, tanggal 28 Mac umum dikejutkan dengan satu kes bunuh diri di Hospital Serdang. Mangsa dikatakan bunuh diri akibat tertekan kerana positif Covid-19. KKM menyangkal berita tersebut sebagai berita palsu. Boleh dikatakan hampir setiap hari, begitu pantas berita-berita palsu ini tersebar terutamanya melalui media baharu.

Penularan berita palsu boleh diambil tindakan dibawah dua peruntukan undang-undang. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia melarang penyebaran kandungan palsu dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan turut melarang penyebaran berita palsu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Namun begitu, disebalik adanya dua peruntukan perundangan ini, mengapakah berita palsu semakin ‘giat bercambah’? Trend penularannya tidak menurun malah sebaliknya.

Apakah undang-undang sedia ada tidak mampu mengekang penularan berita palsu terutama di media baharu?

Perkara ini sering berlaku setiap kali negara dilanda krisis, samada politik, kesihatan mahupun yang berpentingan awam.

Disember 2019 menyaksikan Parlimen meluluskan pemansuhan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

Jika diimbas kembali, ia adalah satu lagi undang-undang yang digubal khusus untuk melarang penyebaran berita palsu.

Walaupun hebat dikritik oleh orang ramai kerana dituduh sebagai alat politik kerajaan, secara meritnya, ia menyediakan kerangka perundangan yang meluas untuk mengekang berita palsu, sama ada secara dalam talian atau media cetak.

Sekiranya didapati bersalah, seseorang boleh dihukum sehingga maksimum RM500,000 atau sepuluh tahun penjara.

Sejak pengenalannya, hanya ada satu pendakwaan di bawah Akta tersebut yang melibatkan warga Denmark. Oleh kerana Akta ini telahpun melalui proses pemansuhan di Parlimen, pendakwaan kes berita palsu tidak lagi dijalankan dibawah Akta ini selepas kes warga Denmark tersebut.

Seksyen 4 Akta Berita Anti-Kesalahan 2018 memperuntukkan suatu ‘safeguard’ kepada penguatkuasaan seksyen ini.

Selain melarang penerbitan palsu, seseorang mestilah dengan sengaja melakukan perbuatan tersebut untuk didapati bersalah di bawah peruntukan ini.

Jika seseorang tidak tahu atau tidak menyedari bahawa maklumat yang dikongsi dalam talian adalah palsu, maka dia tidak melakukan kesalahan di bawah akta ini.

Seksyen 6 (1) turut mempertanggungjawabkan pesalah untuk menghapuskan (take down) penerbitan yang mengandungi berita palsu. Kegagalan melakukan yang demikian turut menjadi suatu kesalahan.

Sekiranya sesiapa yang menerima perintah penghapusan penerbitan itu gagal berbuat demikian, Mahkamah boleh mengarahkan pegawai polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menghapuskan penerbitan tersebut menurut Seksyen 9.

Sesiapa yang menerima Perintah Penghapusan Penerbitan yang Mengandungi Berita Tidak Benar, percaya bahawa penerbitan dalam milikannya bukanlah palsu, boleh membuat permohonan kepada Mahkamah untuk mengetepikan perintah itu.

Penulis berpendapat Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 mengandungi peruntukan yang unik, yang mana disediakan satu mekanisme ‘take down’ atau penghapusan penerbitan jika ia didapati palsu.

Mekanisme ini tidak terdapat didalam Kanun Kesiksaan mahupun Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia juga memberi ruang sewajarnya kepada mana-mana pihak (yang dituduh menyebarkan berita palsu) untuk menjelaskan bahawa kandungan yang diterbitkan adalah benar.

Peruntukan ini selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara maju yang lain.

Singapura telah menguatkuasakan Protection from Online Falsehoods and Manipulation Act (POFMA) pada bulan Jun 2019.

Selain melarang penerbitan berita palsu, POFMA melarang menggunakan ‘bot’ untuk menyebarkan berita palsu di Singapura. Seseorang juga boleh dikenakan tindakan jika dia didapati bersalah menyediakan perkhidmatan untuk menyebarkan penerbitan palsu.

Jerman merupakan negara pertama yang mengambil langkah berani untuk mengawal selia penularan berita palsu melalui Network Enforcement Act 2017.

Menyifatkan kekurangan pada kerangka kawalan kendiri (self-regulation) sedia ada, Jerman mempertanggungjawabkan platform media sosial untuk memantau dan mengawal selia penerbitan berita palsu.

Media sosial seperti Facebook perlu mengambil tindakan menurunkan kandungan palsu yang terdapat dalam platform masing-masing.

Jika gagal dilakukan, platform media sosial boleh dikenakan penalti yang berat. Persoalan mungkin timbul apakah penguatkuasaan boleh dijalankan dengan berkesan?

Data dari kajian Echikson & Knodt (2018) menunjukkan Facebook menurunkan kandungan palsu yang dilaporkan pada kadar 76.4% dalam tempoh 24 jam. Google dan Twitter pula menurunkan kandungan palsu yang dilaporkan sehingga lebih 90% dalam tempoh 24 jam.

Hal ini mungkin memberi gambaran bahawa kadar pematuhan platform media sosial kepada undang-undang Jerman itu adalah amat tinggi.

Selain itu, ia mungkin mencerminkan bahawa operator media sosial mahu membuktikan mereka cakna tentang penularan berita palsu, terutamanya di platform mereka sendiri dan mahu mengambil tanggungjawab sosial untuk membendungnya.

Jadi apakah lagi alasan kita untuk membiarkan sahaja permasalahan yang sering membelenggu masyarakat Malaysia ini?

Di dalam musim wabak Covid19 ini, kita diarah untuk duduk di rumah dan tentunya media sosial menjadi salah satu medium penyampaian maklumat era digital, selain televisyen dan surat khabar.

Jelas sekali, pelbagai agensi dalam kementerian dibebani dengan tugas baharu untuk menyemak dan mengesahkan kesahihan suatu berita. Yang lebih jelas, berita palsu lebih cepat penularannya, berbanding yang sahih.

Penulis berpendapat adalah wajar untuk Parlimen mempertimbangkan supaya Akta Anti Berita Tidak Benar untuk dikembalikan semula. Pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh juga pertimbang dengan memasukkan peruntukan yang ada pada Akta Anti Berita Tidak Benar.

Hal ini supaya peruntukan sedia ada boleh ditambah baik demi mengekang penularan berita palsu.

Dr. Mahyuddin Daud ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.