KUALA LUMPUR – Megah Port Management Sdn. Bhd. yang mengambil alih pengurusan Terminal Labuan Liberty bermula semalam untuk tempoh enam tahun bagi mengendalikan pengurusan operasi dan kemudahan pelabuhan tersebut memperuntukkan RM10 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan di pelabuhan tersebut.

Antara kerja-kerja yang perlu dilaksanakan termasuk meningkatkan sistem keselamatan kebakaran, mengukuhkan kemudahan kargo dan infrastruktur di Pelabuhan Labuan.

“Fasiliti tersebut belum pernah diperbaiki dalam tempoh 20 tahun yang lalu, oleh itu suntikan dana baru diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengurusannya,” kata pengendali pelabuhan tersebut.

Kontrak perkhidmatan pengurusan pelabuhan akan dilaksanakan oleh Megah Port Management Sdn. Bhd., yang mana 51 kepentingannya dikuasai oleh Straits Inter Logistics Bhd.

Manakala 49 peratus dikuasai oleh LPM Holdings Sdn. Bhd.

Menurutnya, kontrak itu telah diberikan kepada Straits Inter Logistics pada Januari lalu dan perjanjian bagi menjalankan operasi dan pengurusan fasiliti tersebut telah dilaksanakan pada bulan Mac.

Perkhidmatan pengurusan pelabuhan melibatkan penyediaan perkhidmatan yang termasuk tetapi tidak terhad kepada operasi kontena, kargo am (gudang/stesen barang pengangkutan/kawasan terbuka), perkhidmatan menarik pelabuhan, bunkering, kapal pengangkut kapal, kapal konvensional seperti pengangkut pukal, kapal kargo am, kapal tangki, pengangkut kenderaan, operator kapal nelayan.

Megah Port Management menambah, Pelan Pembangunan Labuan 2030 telah dilancarkan pada Januari 2018 untuk memacu transformasi Labuan ke arah bandar pintar dan mampan.

Satu dari pelannya ialah mengukuhkan logistik pulau tersebut menerusi peningkatan kemudahan kargo dan infrastruktur.

Inisiatif tersebut boleh membantu untuk mencipta permintaan perkhidmatan pengurusan pelabuhan bagi memudahkan kelancaran pentadbiran aktiviti pelabuhan. – MalaysiaGazette