KUALA LUMPUR – Bukan satu tetapi tiga kesalahan yang dilakukan seorang pemandu yang masih berdegil keluar dari rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa kedua.

Selain keluar rumah melebihi seorang, pemandu tersebut tidak membawa kad pengenalan dan juga lesen memandu ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di Seri Kembangan di sini hari ini.

Malah dia dan pasangannya telah keluar rumah bukan dalam radius yang tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediamannya yang terletak di Bandar Mahkota Cheras untuk pergi ke sebuah farmasi di Puchong.

Pelbagai alasan yang diberikan pemandu itu termasuk jarak ke sana adalah dekat jelas mengundang rasa kecewa dan marah pihak berkuasa apatah lagi mereka bertugas dalam suasana hujan.

Anggota polis yang bertugas terpaksa membuat semakan pengiraaan dengan menggunakan aplikasi di telefon dan mendapati jarak ke sana adalah 16 km.

Namun atas budi bicara pihak polis, pasangan itu diperintah membuat pusingan dan pulang semula ke rumah yang terletak di Bandar Mahkota.

Sementara itu, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 14 April menetapkan had perjalanan individu yang keluar rumah dalam tempoh itu bagi tujuan dibenarkan adalah dalam radius tidak melebihi 10 km dari kediaman.

Menurut peraturan itu, yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), individu tersebut juga tidak boleh disertai orang lain kecuali dengan alasan munasabah.

“Peraturan itu melibatkan arahan kawalan pergerakan iaitu tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain,” menurut peraturan itu.

Seseorang hanya boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain bagi tujuan tertentu. – MalaysiaGazette