MySalam adalah skim perlindungan kesihatan takaful percuma kepada golongan kurangt upaya dan B40.

KUALA LUMPUR – DAP menggesa kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran Skim Perlindungan Nasional (mySalam) bagi memberi laluan kepada orang ramai yang gagal memohon berikutan masalah teknikal di laman sesawang skim berkenaan.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, beliau menerima banyak panggilan dari orang ramai yang mengadu tidak dapat mengakses laman sesawang mySalam bagi tujuan pendaftaran.

“Laman sesawang untuk pendaftaran mySalam gagal berfungsi dari 20 Mac hingga 31 Mac lalu. Talian hotline juga tidak dapat dihubungi.

“Akibatnya, ramai individu yang layak gagal mendaftarkan, walaupun mereka telah berkali-kali cuba masuk ke laman sesawang tersebut sebelum tarikh tutup pendaftaran.

“Pejabat saya telah menerima ratusan panggilan dan mesej mengenai isu ini. Ramai yang kecewa kerana tidak dapat daftar,” katanya dipetik dari lidah rasmi DAP, Roketkini.com.

Beliau menyeru kerajaan dan Great Eastern Holdings, sebagai pengendali skim MySalam untuk melanjutkan tempoh pendaftaran bagi golongan M40.

Kata Poay Tiong, tempoh pendaftaran patut dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga 15 April ini.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh akhir pendaftaran mySalam pada 31 Mac lalu.

MySalam adalah skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 bagi memanfaatkan golongan kurangt upaya dan kurang berkemampuan, terutama B40.

Melalui skim itu, mereka yang menghidap mana-mana 45 penyakit kritikal, termasuk Covid-19 akan menerima bayaran tunai sebanyak RM4,000 atau RM8,000 bergantung kepada tahap pendapatan.

Penerima juga boleh menuntut bayaran hospitalisasi iaitu RM50 sehari untuk maksima 14 hari.

Skim ini turut diperluaskan kepada golongan M40, iaitu mereka yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun. – MalaysiaGazette