Gambar hiasan

LONDON- Kerajaan Britain sedang berbincang dengan pengendali rangkaian mudah alih untuk mendapatkan data daripada syarikat-syarikat tersebut bagi membantu kerajaan dalam usaha membawa pulang rakyat negara itu yang terkandas di luar negara disebabkan oleh wabak Covid-19.

Menurut tiga sumber yang rapat dengan perkara itu, empat syarikat talian mudah alih Britain sedang berbincang dengan kerajaan bagi mendapatkan data perayauan (roaming data) untuk membantu dalam urusan menempah penerbangan sewa khas.

Bil perayauan mungkin boleh membantu mengenal pasti jumlah sebenar pelanggan syarikat-syarikat telekomunikasi yang sedang berada di pelbagai negara.

Setiausaha Luar, Dominic Raab pada 30 Mac lalu berkata, kerajaan telah membuat perjanjian dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk membawa pulang puluhan ribu rakyat Britain yang terkandas di luar negara.

Mereka itu adalah kumpulan yang tidak boleh pulang melalui penerbangan komersial.

Salah seorang sumber memberitahu, BT Group Plc, Vodafone Group Plc, Telefonica SA dan CK Hutchison Holdings Ltd. sedang bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Maklumat bagi memastikan perkara tersebut tidak melanggar undang-undang perlindungan data.- MalaysiaGazette