Dr. Nahrizul Adib Kadri memegang prototaip SAUNA32 yang dihasilkan.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) berjaya membangunkan sebuah prototaip termometer inframerah dalam masa kurang dari tujuh hari.

Projek ini turut dijayakan oleh Prof. Dr. Ng Kwan Hoong, pakar fizik perubatan dari Fakulti Perubatan bersama kumpulan penyelidiknya dengan kerjasama jurutera syarikat tempatan

Prototaip termometer inframerah yang diberi nama SAUNA32 ini direka bentuk untuk mempunyai keupayaan mengumpulkan maklumat suhu dan kemudiannya dimuatnaik menggunakan konsep Internet-of-Things (IoT)

Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM berkata, projek ini dilaksanakan ekoran kekurangan stok termometer inframerah secara mendadak di pasaran disebabkan oleh wabak Covid-19.

“Kami membangunkan prototaip ini kerana terdapatnya peluang untuk melakukan penyelidikan berkaitan di dalam bidang ini, terutamanya yang melibatkan data raya (big data) dan peranan jurutera bioperubatan dalam membendung sesebuah pandemik,” katanya.

Menurutnya, pengumpulan dan menganalisis maklumat suhu secara IoT bukanlah suatu yang baharu, namun penggunaan algoritma yang khusus bagi meramal ‘kawasan panas’ di Malaysia menggunakan data sedia ada di negara yang teruk terjejas seperti di China, Itali, Iran, Amerika Syarikat dan Sepanyol, bakal membantu pihak berkuasa menangani wabak ini dengan lebih baik pada masa hadapan.

Kos komponen elektronik untuk menghasilkan SAUNA32 hanyalah sekitar RM150 sahaja menggunakan komponen yang mudah didapati.

Katanya, kumpulan penyelidik terbabit bercadang berkongsi reka bentuk dan program pengaturcaraan untuk penderia suhu yang digunakan kepada sesiapa yang berminat.

Rekabentuk luaran SAUNA32 telah dihasilkan menggunakan teknologi percetakan 3D dan mengambil masa selama 7 jam untuk mencetaknya.

Reka bentuk termometer ini akan ditambah baik dengan komponen komunikasi Bluetooth dalam masa terdekat in akan menjadikan termometer tersebut sebagai peranti pengumpulan data secara masa sebenar, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menghasilkan sistem kepintaran buatan yang mampu meramal penyebaran wabak Covid-19 atau apa juga wabak yang melanda pada masa akan datang.

Menurut Dr. Nahrizul Adib, projek SAUNA32 tidak terhenti dengan kejayaan penghasilan prototaip dan perkongsian reka bentuknya kepada orang lain yang memerlukan.

”Ada dua hala tuju yang telah dikenal pasti untuk projek ini buat masa ini. Pertama, kami sedang memohon dana inovasi dari UM sebanyak RM50,000 untuk membangunkan generasi kedua SAUNA32 yang dilengkapi keupayaan IoT sepenuhnya dan pelaksanaan pengumpulan data di pusat saringan kesihatan yang terpilih.

”Kedua, kami bercadang untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya RM150,000 melalui ‘crowd-funding’ untuk menghasilkan 1,000 unit SAUNA32 generasi pertama untuk didermakan kepada bdan dan agensi yang memerlukan,” katanya yang berharap rojek kecil SAUNA32 ini membuktikan keupayaan penyelidik dan jurutera tempatan dalam membangunkan sesebuah inovasi dalam masa yang singkat untuk
menghadapi bencana. – MalaysiaGazette