Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memutuskan semua institusi perbankan mengecualikan caj RM1 bagi pengeluaran wang melalui Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEP) di mesin juruwang automatik (ATM) mulai Isnin ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan caj RM1 itu, orang ramai mula bertumpu dalam bank untuk mengeluarkan wang di kaunter.

Kata beliau, ini akan menambah burukkan lagi keadaan, sedangkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjarakkan satu meter antara satu sama lain.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan telahpun memutuskan semua institusi perbankan dan MEP akan mengecualikan caj RM1 bagi pengeluaran wang bagi semua mesij ATM rangkaian MEP.

“Pengecualian ini akan bermula pada Isnin 6 April ini sehingga tamat tempoh PKP. Ini akan memberikan ruang dan kemudahan kepada rakyat supaya menggunakan ATM yang disediakan.

“Tetapi, jangan pula mereka berpusu-pusu di ATM. Pastikan jarak sosial satu meter dipatuhi,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Dari segi pengurusan perbank, kerajaan menggalakkan rakyat mengamalkan penggunaan atas talian untuk urusan memindah wang dan sebagainya.

Mengenai pelaksanaan PKP fasa dua, Ismail Sabri menyatakan, polis dengan kerjasama Angkatan Ttentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 737 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksaan ke atas 403,336 kenderaan.

Katanya, pasukan keselamatan itu juga turut melakukan sebanyak 25,614 pemeriksaan mengejut melibatkan 4,564 di premis tertentu.

“Sehingga semalam, seramai 483 individu telah dituduh di mahkamah kerana melanggar PKP.

“Dari segi sekatan jalan raya dan lain-lain pemeriksaan pula polis telah menahan 524 individu dengan 451 daripadanya direman dan 73 orang dijamin.

“Dari segi perbandingan, tangkapan pada 2 April semalam seramai 524 berbanding tangkapan 1 April lalu seramai 562 orang, terdapat penurunan sebanyak 6.8 peratus,” katanya.

Beliau berharap trend penurunan itu akan berterusan, yang didorong oleh pematuhan rakyat terhadap PKP.

“Ini suatu yang mengembirakan dan saya harap ianya akan berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette