Bilal Masjid Negara, Mohd Fakhrurazi Mohd Yusof melaungkan azan bagi menandakan masuk solat fardu Zohor dalam suasana yang lengang berikutan segala aktiviti Solat Jumaat dihentikan sempena Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani Covid-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020.

PENULIS ada terbaca di media luar negara berbahasa Inggeris, ada menulis terdapat banyak perubahan yang jelas dalam pengamalan beragama sejak pelbagai negara di dunia diserang wabak virus Covid 19. Virus ini bukan sahaja membawa perubahan kepada agama Kristian, Yahudi, Buddha dan Hindu malah Islam seantero dunia. Oleh itu penulis terpanggil untuk membicarakan perubahan pengamalan agama Islam terhadap penganut Islam di Malaysia terutamanya sejak penularan virus
Covid 19.

Sejak tertularnya virus Covid-19 di Malaysia kita melihat perubahan pada pengamalan dari pelbagai segi rukun Islam dan pelbagai amalan sunnah. Rukun Islam yang wajib diketahui diamalkan oleh orang Islam ialah mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa,zakat dan haji. Terdapat pelbagai kesan positif dan negatif dalam pengamalan agama Islam akibat virus Covid-19 ini. Jika dulunya jika seorang Muslim itu dilihat kurang mempraktikkan agamanya, melihat kegawatan dunia juga kematian yang cepat dan banyak saban hari sepatutnya bisa membangkitkan rasa keinsafan insan untuk kembali beragama dengan memperbaharui syahadahnya.

Kalau dahulu solat fardhu, sunnah dan Jumaat juga akan datang solat tarawikh di masjid semasa bulan Ramadhan, dijalankan di surau-surau juga masjid di pejabat juga kawasan perumahan, kini dilihat negeri Perlis membuat langkah awal dengan mengikut fatwa Muftinya untuk membatalkan solat Jumaat secara berjemaah. Sebagai ganti solat Zohor dibuat di kediaman atau pejabat masing-masing. Ditambah lagi dengan kes pesakit Covid-19 yang bertambah ramai di hospital-hospital, menyebabkan setengah petugas kesihatan tidak sempat solat pada waktu, kadangkala terpaksa diqadak atau jamak.

Pada awalnya juga ada setengah masjid atau surau tidak membunyikan azan kerana dikhuatiri panggilan azan akan menyebabkan orang berkumpul di masjid dan surau yang  dikhuatiri menambahkan lagi risiko jangkitan virus. Di sebuah negara Timur Tengah juga dikatakan azannya diubah hujungnya untuk memberi peringatan terhadap solat tetapi tidak digalak berjemaah hanya dibuat di rumah sahaja. Apabila seisi keluarga solat berjemaah di rumah maka aktiviti bersama keluarga tersebut dilihat akan lebih mengukuhkan rasa kebersamaan keluarga tersebut.

Pada hujung bulan April ini umat Islam seluruh dunia akan mula berpuasa di bulan Ramadan. Walaupun ibadah berpuasa mungkin tidak akan terkesan sangat dengan virus Covid-19 kerana Muslim akan kurang makan dan minum di siang hari.Dijangkakan bazar Ramadan yang meriah di Malaysia tidak akan dibuka. Maka makanan dan minuman berbuka kebanyakan akan dimasak di rumah atau dipesan secara penghantaran oleh peniaga francais atau kecil-kecilan. Mungkin ini akan mengurangkan rasa meriah berbuka seperti tahun-tahun sebelumnya dengan pelbagai juadah
moden dan tradisi masyarakat Malaysia seperti satu pesta di bulan puasa.Mungkin masyarakat harus mengambil inisiatif untuk memasak sendiri atau memesan dari peniaga untuk disedekahkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan yang terkesan mata pencarian dan terputus bekalan akibat virus Covid-19 ini.

Dikatakan ramai yang berpendapatan harian seolah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selain bantuan Prihatin kerajaan akan mendapat manfaat dari sedekah dan derma masyarakat yang lebih berkemampuan. Puasa seharusnya dilihat sebagai satu sebenar-benarnya cara di musim virus Covid-19 ini untuk menumbuhkan rasa keinsafan akibat rasa kelaparan
dan kemiskinan yang dirasai ramai manusia di kala ini.

Ibadah tahunan umat Islam iaitu haji dan umrah juga terkesan pada tahun 2020 ini. Visa haji awalnya dibatalkan kepada beberapa negara oleh kerajaan Arab Saudi. Melihatkan penularan yang meningkat juga di negara-negara Timur Tengah dan pelbagai negara Islam juga bukan negara Islam tetapi masih mempunyai kuota haji pada penganut Islam di negara tersebut, maka ramai menjangkakan haji mungkin ditangguhkan pada tahun ini.Jika haji masih diteruskan pada tahun 2020 ini mungkin akan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan jemaah haji yang rata-ratanya orang tua yang terdedah berisiko tinggi terhadap virus Covid 19.Dengan jumlah jutaan jemaah haji setiap
tahun, penerusan haji mungkin dilihat lebih memberi mudarat dari manfaat. Jika haji tidak diteruskan pula, mungkin jemaah haji harus berlapang dada terutamanya yang gilirannya termasuk pada tahun 2020 ini.

Semoga Allah akan menjemputnya sebagai tetamu di tahun akan datang pula apabila banyak negara selamat dari wabak virus Covid-19. Bagi jemputan umrah ke tanah suci dilihat masih berjalan cuma terdapat banyak halangan untuk pulang semula ke tanah air juga sekatan dari pihak Arab Saudi sendiri untuk ke sana.Pendek kata semuanya berkaitan haji dan umrah dilihat tidak menentu ketika ini. Bagi pembayaran zakat dan fitrah pula dilihat lembaga zakat setengah negeri melonggarkan syarat untuk pemberian asnaf zakat ,sedekah dan derma dengan menyalurkan juga kepada asnaf yang terkesan mata pencarian akibat Covid-19. Ada yang dibuat secara dalam talian dan lebih mudah
dengan menyertakan dokumen yang diperlukan sahaja.

Amalan-amalan sunnah dan adat berkaitan agama yang biasanya dijalankan secara berjemaah seperti kenduri kahwin, jenazah, bacaan Yassin dan Tahlil kini tidak boleh dijalankan lagi, kerana umat Islam juga tertakluk kepada undang-undang berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh disabit denda RM1000 dan penjara. Kes ini boleh dilihat di peristiwa perkahwinan di kampung di Simpang Renggam menyebabkan beberapa kampung terus dikawal ketat secara mengejut juga akibat penularan wabak virus Covid 19 beberapa hari selepas majlis tersebut.

Perhimpunan agama dan dakwah seperti perhimpunan Ijtimak jemaah Tabligh di masjid Seri Petaling di hujung bulan Januari, menyaksikan sejumlah besar ahli jemaah Tabligh terkena virus Covid-19 yang menular dalam kalangan peserta yang juga sempat menjangkiti di kalangan ahli keluarga, sanak-saudara,jiran tetangga juga rakan sekerja. Lantaran itu tiada lagi perjumpaan atau perhimpunan berkaitan agama juga yang dibenarkan.Kerjasama mereka yang terlibat untuk melakukan saringan harus dipuji kerana menyelamatkan banyak nyawa dengan pengesanan awal pesakit dan potensi pesakit. Golongan jemaah Tabligh juga harus dipuji kerana mereka antara golongan yang sentiasa memenuhi rumah Allah di mana-mana.Penutupan masjid dan surau juga aktiviti ziarah rumah ke rumah dilihat memberi kesan penyebaran dakwah secara fizikal dan terus.

Tradisi dan sunnah bersalam dan berpelukan apabila berjumpa juga setelah solat dalam kalangan rakyat khususnya yang beragama Islam juga tidak kelihatan lagi, sebagai langkah pencegahan melakukan penjarakan sosial sejauh 1 meter dari setiap individu. Adakah ini akan mengurangkan rasa ikatan ukhuwah sesama kita? Masyarakat kembali kepada cara pernah disarankan dahulu memegang dada sendiri sebagai tanda hormat bagi mengelakkan sentuhan antara individu. Pelbagai respon juga insentif dari pihak berwajib seperti Menteri Agama juga negeri-negeri yang lain apabila umat Islam mula membaca Qunut Nazilah, solat hajat beramai-ramai di rumah sendiri secara waktu yang ditentukan serentak, bacaan Quran Moment, dan sebagainya adalah inisiatif bagus yang menambahkan rasa rohaniah seorang Muslim secara individu juga ummah.

Apabila Muslim mempunyai lebih banyak masa yang terluang di rumah, walau ada yang terpaksa bekerja dari rumah, jika kebiasaannya ke masjid atau surau untuk mendengar khutbah atau ceramah agama, maka kini ianya boleh dijalankan secara maya iaitu melalui halaman di Facebook, video secara
rakaman atau secara langsung di Facebook, di YouTube dan Podcast. Malah Menteri Agama sendiri membuat siaran video secara langsung di Facebook dan Podcast untuk pembelajaran agama atau hal-hal berkaitan kementerian.Kini kebergantungan kepada sains dan teknologi amat penting untuk dimanfaatkan untuk berkaitan dunia dan ukhrawi, sama ada melalui media utama atau media sosial. Melihat kepada zaman virus Covid 19, beberapa perkara boleh disimpulkan di sini. Oleh kerana
PKP maka kebanyakan ahli keluarga akan berada di bawah satu bumbung 24 jam sehari. Hal ini harus dimanfaatkan oleh setiap ahli keluarga.

Malah tumpuan dan peranan ketua keluarga atau wali juga
ibu bapa keluarga tersebut akan lebih terhadap menjaga ahli keluarganya sendiri berbanding orang lain.PKP dilihat sebagai satu cara beruzlah (mengasingkan diri) secara fizikal bukan sahaja dari wabak Covid-19 tetapi juga dari masalah sosial masyarakat yang lain.Ini sekali imbas dilihat ada sedikit
persamaan dengan kisah Ashabul Kahf, iaitu kisah sekumpulan muda yang dahulunya bezanya melarikan diri dari pemerintah yang kejam dan zalim. Maka masa PKP seharusnya digunakan
sebaiknya untuk membina keluarga Muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan lebih baik, bermuhasabah juga mendekatkan diri dengan Allah dengan mendirikan solat berjemaah, berpuasa wajib dan sunat juga membaca Hadis dan juga khatam al-Quran bersama.Ini kerana setiap individu yang beriman pada Allah dan Rasulnya haruslah yakin dengan segala takdir, musibah datangnya dari Allah sebagai ujian dan sebagainya untuk Mukmin lebih dekat pada Allah.

Maka bagi Muslim yang sebelum ini kurang cara keyakinannya juga pengamalannya kerana majoriti orang Islam di Malaysia
dilahirkan Muslim juga Melayu adalah Islam mengikut peruntukan Perlembagaan Malaysia. Hasilnya nikmat Iman dan Islam itu mungkin kurang dirasai. Segala pengamalan agama mungkin dirasakan sebagai satu ritual sahaja ataupun ikut-ikutan.Maka dengan berlakunya wabak virus Covid-19 ini, insan mula melihat kepada keperluan kepada kebergantungan Tuhan Esa yang Maha Berkuasa, yang hanya kepadaNya kita berserah.

Selain itu masyarakat juga dilihat saling bergantungan antara satu sama lain untuk mematuhi PKP bagi memutuskan rantaian PKP. Masyarakat juga dilihat tidak boleh mementingkan diri sendiri dengan tidak mematuhi PKP, membuat pembelian panik dan sebagainya.Ini kerana ada golongan rakyat yang terputus mata pencarian harus berharap hasil jualan juga bantuan kerajaan juga orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup.Dirasakan rakyat Malaysia yang agak pemurah jika
menderma, dan tidak terlalu skeptikal berbanding negara lain akan membantu golongan yang kurang bernasib baik ini.Yang bersedekah juga berzakat secara ini dikatakan menyucikan hartanya, hati dan jiwanya dengan niat yang satu bagi mencari keredhaan Allah di akhir zaman ini.

Semoga tatacara ini secara sumbangan sedekah, jariah, derma dan zakat akan menyuburkan ekonomi juga bantuan juga
mengeratkan ukhuwah walaupun individu perlu melakukan penjarakan sosial dengan jarak 1 meter antara satu sama lain.Maka terpulanglah kepada individu Muslim untuk meningkatkan keimanannya atau membiarkan diri hanyut dengan lagha dan maksiat dengan teknologi yang dikatakan didukung
Yahudi dan golongan seangkatannya.Bak kata pepatah, tepuk dada, tanya iman. Apabila angka kematian akibat virus Covid-19 ini semakin meningkat, maka ingatan terhadap kematian patut tersemat dan terpahat.

Dunia akhir zaman, di mana dunia yang penuh dengan tipu daya, maka ketakutan kita terhadap kematian akibat virus Covid-19 seharusnya meningkatkan keimanan kita dengan meningkatkan amalan pada Allah yang Esa. Kita mungkin tidak takut virus Covid-19, tetapi hakikat yang sebenarnya ialah kita takut Allah. Tetapi Muslim haruslah berfikir dan bertindak  bijak dengan mengamalkan cadangan pencegahan virus untuk kelangsungan hidup kita dengan membawa bekal amal agar apabila tiba masanya kita mengadap Allah kelak, kita akan datang dengan tangan yang bersih dan hati yang suci penuh keimanan dan ketakwaan pada Allah Azza Wajalla.

Oleh: Dr Dzuhaidah Osman, Pensyarah Kanan , Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia