FGV

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Berhad (FGV) menyerahkan 13,000 beg bantuan makanan kepada golongan B40 dan masyarakat yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata sumbangan tersebut diserahkan kepada penduduk di kawasan FELDA terpilih di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ia merupakan lanjutan kepada sumbangan 3,000 beg bantuan yang diagihkan melalui NGO terpilih pada 26 Mac lalu.

“Dalam waktu sukar ini, kelangsungan makanan harian amat penting terutamanya bagi yang berkeluarga. Sumbangan berupa produk makanan sangat dekat dengan kami kerana FGV terlibat secara langsung dalam industri rantaian bekalan makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bantuan tersebut mengandungi makanan asas seperti beras, Minyak SAJI, Gula PRAI, Garam Gunung SAJI, Mi Segera SAJI, Krimer Pekat Manis SAJI, Krimer Sejat Cair SAJI dan Sos Cili SAJI yang merupakan barangan keluaran Kumpulan FGV.

Syarikat peladangan sawit terbesar negara itu turut dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia di bawah program FGV Food Relief Bag.-MalaysiaGazette