KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada Februari 2020 meningkat 11.6% kepada RM136.3 bilion berbanding Februari 2019.

Eksport berkembang 11.8% kepada RM74.5 bilion tahun ke tahun, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Eksport semula bernilai RM9.8 bilion menyusut 6.3% dan merangkumi 13.1% daripada jumlah eksport.

Walau bagaimanapun, eksport domestik merekodkan peningkatan sebanyak 15.2% atau RM8.5 bilion kepada RM64.7 bilion.

Sementara itu, import meningkat RM6.3 bilion (+11.3%) kepada RM61.8 bilion menyebabkan lebihan dagangan sebanyak RM12.6 bilion, 14.1% lebih tinggi berbanding Februari 2019.”

Menurutnya, pertumbuhan eksport disumbangkan oleh pengembangan eksport ke Singapura (+ RM2.1 bilion), Amerika Syarikat (+ RM1.6 bilion), Republik Korea (+ RM1.2 bilion), China (+ RM935.4 juta) dan Taiwan (+ RM430.4 juta).

Sementara itu, import lebih tinggi terutamanya dari Amerika Syarikat (+RM989.7 juta), India (+RM859.2 juta), Taiwan (+RM705.3 juta), Republik Korea (+RM662.1 juta) dan China (+RM591.9 juta).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah keluaran petroleum bertapis (+RM788.1 juta), minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (+RM692.7 juta), kayu dan hasil keluaran kayu (+RM575.9 juta), gas asli cecair (+RM222.2 juta) dan getah asli (+RM77.5 juta).

Bagaimanapun, eksport yang lebih rendah direkodkan untuk barangan elektrik dan elektronik (-RM707.9 juta) dan petroleum mentah (-RM222.6 juta).

Sementara itu, pertumbuhan import mengikut Penggunaan Akhir terutamanya disumbangkan oleh barangan perantaraan (+RM6.5 bilion) dan barangan pengguna (+RM462.3 juta) manakala import barangan modal menurun RM1.1 bilion. – MalaysiaGazette