Pekerja yang terlibat dengan makanan dibenarkan beroperasi semasa fasa kedua PKP.

KUALA LUMPUR- Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menambah lima lagi perkhidmatan penting (essential services) yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat kedua bermula 1 April sehingga 14 April ini.

Semalam, agensi tersebut hanya menyenaraikan 10 jenis sektor sahaja yang dibenarkan beroperasi semasa PKP 2.

Antara yang ditambah adalah pengangkutan darat, air dan udara; hotel dan penginapan; dan perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman, penyimpanan atau pemukalan komoditi.

Berikut adalah senarai penuh perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi sepanjang dua minggu ini seperti mana yang dinyatakan dalam set soalan lazim (FAQ) PKP 2:-

  1. Makanan
  2. Air
  3. Tenaga
  4. Komunikasi dan Internet
  5. Keselamatan dan Pertahanan
  6. Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Pembentungan
  7. Penjagaan Kesihatan dan Perubatan termasuk Penokok Diet
  8. Perbankan dan Kewangan
  9. E-dagang
  10. Pengangkutan melalui darat, air dan udara
  11. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman, penyimpanan atau pemukalan komoditi.
  12. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir
  13. Hotel dan penginapan
  14. Apa-apa perkhidmatan atau kerja yang ditentukan oleh Menteri sebagai penting atau kritikal kepada kesihatan dan keselamatan awam
  15. Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.

Dalam pada itu, beberapa perkhidmatan seperti penyiaran, media dan pos telah diletakkan di bawah kategori Komunikasi manakala bomba, penjara, imigresen dan kastam dikategorikan sebagai perkhidmatan keselamatan dan pertahanan.

Perkhidmatan stesen minyak pula diletakkan di bawah kategori tenaga.

Jelas MKN, kesemua perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP fasa satu masih dibenarkan beroperasi pada fasa kedua asalkanya ia masih tersenarai dalam 15 perkhidmatan dan rantaian yang telah diumumkan tadi.

Selain itu, kesemua perkhidmatan yang disenaraikan dalam PKP masih dibenarkan beroperasi tetapi waktu operasinya diperketatkan. – MalaysiaGazette