Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Lapan lelaki warga Nepal yang terlibat dalam pergaduhan berkumpulan telah dicekup polis di Petaling Jaya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek ditahan pukul 9.20 malam di Blok A-5-14 Mentari Court dekat sini.

“Mangsa pergaduhan itu berusia 38 tahun merupakan rakan kepada semua suspek mengalami kecederaan parah. Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan mendapati kesemua suspek berada di bawah pengaruh alkohol sebelum ditahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Nik Ezanee, mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Manakala katanya, polis berjaya merampas senjata iaitu dua bilah pisau serta sebilah gunting merupakan senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut.

“Kesemua suspek berumur lingkungan 24 ke 33 tahun dan akan direman untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut,” tegasnya.

Nik Ezanee juga mengesahkan mengenai tangkapan seorang lelaki kelainan upaya yang mempunyai sejarah sakit mental kerana melakukan khianat apabila membakar rumah di Flat Taman Putra Damai, Lembah Subang dekat sekitar 9 pagi semalam.

Katanya, kebakaran itu berjaya dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat daripada terus merebak dan tiadak sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam kejadian ketiga pula, sekitar 8.50 malam Jumaat pula, polis berjaya menahan dua wanita warga Indonesia yang dipercayai penjaga premis selepas menyerbu sebuah rumah Apartmen Vista Jalan PJU 10/3 Damansara Damai yang menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

“Turut ditahan enam lelaki warga tempatan dan seorang perempuan Indonesia yang datang sebagai pelanggan premis itu,” katanya.-MalaysiaGazette