Robot dikerah di ibu kota Tunisia bagi tujuan mengawal dan kmenyekat pergerakan rakyat tanpa sebab di atas jalan.

TUNIS – Robot robot telah dikerah oleh kerajaan Tunisa untuk memastikan rakyat mematuhi perintah berkurung Covid-19.

Sekiranya ada individu dikesan berkeliaran di luar, robot berkenaan akan mendekati mereka dan meminta individu berkenaan memberikan sebab kenapa mereka berada di luar.

Maka setiap individu yang berlegar di tempat umum diwajibkan menunjukkan kad pengenalan diri serta surat yang menyokong tindakan mereka.

Pegawai penguat kuasa polis yang memantau pergerakan awam menggunakan robot berkenaan akan menyemak kad pengenalan dan dokumen yang ditunjukkan orang awam di hadapan kamera robot polis tersebut.

Begitulah kaedah teknologi robotik yang digunakan kerajaan Tunisia untuk menyekat pergerakan rakyat mereka supaya memahami usaha dan niat kerajaan yang bertungkus lumus memerangi pandemik maut itu.

Ini merupakan minggu kedua Tunisia menjalani perintah berkurung sepenuhnya untuk menyekat penularan virus yang setakat ini sudah membunuh 14 orang di negara berkenaan.

Rakyat Tunisia juga tidak dibenarkan keluar rumah kecuali atas tujuan perubatan dan pembelian barang keperluan.

Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri Tunisia tidak mendedahkan bilangan robot polis yang dilibatkan dalam operasi pemantauan di ibu kota tersebut.

Pengilang robot berkenaan Enova Robotics memberitahu BBC, ia merupakan perkara rahsia dan tidak boleh didedahkannya termasuk kos yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut.-MalaysiaGazette