Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa sekumpulan pelajar dari fakulti muzik diarahkan membuat persembahan bagi menyambut lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Naib Canselor universiti itu, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, tiada sebarang persembahan mahupun latihan dilakukan berkaitan lawatan tersebut.

“Pada peringkat awal UPSI merancang untuk pelajar membuat persembahan, namun setelah merujuk dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) maka hanya empat orang sahaja kalangan pengurusan tertinggi termasuk Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertemu Dr Noraini di Pusat Pelajar.

“Selain itu empat pegawai KPT turut mengiringi lawatan tersebut. Tidak berlaku sebarang persembahan seperti yang ditularkan bahawa lebih 20 pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan akan hadir pada satu majlis,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu Presiden Persatuan Akademik (PEKA) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dan Presiden Kesatuan Pegawai Am (KPA) UPSI, Saiful Lizan Mohd Lajis membuat laporan polis menyangkal dakwaan tersebut.

UPSI sebaliknya menegaskan sentiasa memastikan warganya mematuhi PKP.

MalaysiaKini dalam laporannya memetik ketidakpuasan hati kakitangan UPSI terhadap rancangan menyambut kedatangan Noraini hari ini apabila mendakwa hampir 20 orang pelajar dari fakulti muzik dikatakan menerima arahan membuat persembahan sempena lawatan itu.

Laporan itu bagaimanapun  mendakwa persembahan itu dibatalkan namun program lawatan menteri it berjalan seperti dijadualkan. – MalaysiaGazette