Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,320 dan 1,350 minggu depan berikutan turun naik yang kekal tinggi dalam pasaran.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata, sentimen pelabur masih dipengaruhi oleh situasi Covid-19 dan prestasi semalaman Wall Street.

“Aktiviti pengambilan untung dan belian saham pada harga rendah yang luas dijangka menguasai bursa saham tempatan minggu depan, menyebabkan dagangan jajaran kecil dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, AllianceDBS Research berpendapat, Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran ekonomi yang meningkat dengan harga komoditi yang rendah, keyakinan pengguna dan perniagaan yang lemah dan gangguan dalam aktiviti ekonomi yang berpanjangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan yang dikenakan oleh kerajaan untuk membendung COVID-19.

“Bagaimanapun, pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion yang melibatkan suntikan fiskal langsung sebanyak RM25 bilion, dana kerajaan Malaysia akan terjejas selagi penularan tidak dibendung,” katanya dalam nota pada Jumaat lepas.

Sepanjang minggu lepas, Bursa Malaysia turut diniagakan dalam jajaran kecil, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh prestasi semalaman Wall Street, berita mengenai COVID-19, harga minyak mentah, Laporan Tahunan 2019 Bank Negara Malaysia dan keputusan FTSE Russell untuk mengekalkan bon Malaysia dalam senarai pemantauan Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.44 mata kepada 1,330.65 daripada 1,343.09 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 10.92 mata kepada 9,175.38, Indeks FBMT 100 merosot 38.58 mata kepada 9,088.65, bagaimanapun Indeks FBM Emas Shariah naik 53.06 mata kepada 10,061.44.

FBM 70 melonjak 174.22 mata kepada 10,710.06 dan Indeks FBM ACE meningkat 50.36 mata kepada 3,817.31.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.95 mata kepada 105.24 dan Indeks Perladangan meningkat 16.01 mata kepada 6,139.64.

Jumlah dagangan mingguan menambah kepada 21.58 bilion unit bernilai RM12.43 bilion daripada 18.09 bilion unit bernilai RM12.32 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 17.03 bilion saham bernilai RM11.32 bilion daripada 13.46 bilion saham bernilai RM11.34 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.61 bilion unit bernilai RM443.65 juta daripada 1.65 bilion unit bernilai RM414.24 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.94 bilion saham bernilai RM563.58 juta daripada 2.90 bilion saham bernilai RM563.77 juta sebelum ini. – MalaysiaGazette