Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kedudukan harga komoditi dunia yang rendah sekarang sepatutnya dijadikan peluang untuk kerajaan mempercepat dan memperluaskan projek-projek infrastruktur negara.

Antaranya projek yang boleh dilaksanakan ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) 1&2, LRT3, Pan Borneo Highway, Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan projek-projek solar atas kolam.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pelaksanaan projek-projek ini dapat menyuntik dana dan merancakkan industri tempatan.

Menurutnya, dalam situasi krisis ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19, kerajaan sepatutnya berbelanja tinggi.

Ini kerana, katanya, angka pertumbuhan pelaburan awam tidak boleh negatif.

Artikel berkaitan:Malaysia dijangka catat KDNK -2 hingga 0.5 peratus

”Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan pertumbuhan ekonomi kita pada tahun 2020 ini adalah antara -2.0% hingga +0.5%.

”… satu perkara yang menarik perhatian saya ialah kadar pertumbuhan pelaburan awam iaitu, perbelanjaan pelaburan kerajaan bagi tahun 2020.

”Tapi ianya dijangka masih pada kadar negatif pula,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Soal Najib, jika pelaburan swasta negatif dan pelaburan awam juga negatif, siapa yang melabur pada tahun ini untuk menyokong ekonomi Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan baru untuk mereka yang terjejas akibat Covid-19. – MalaysiaGazette