Kenderaan yang membawa Angkatan Tentera Malaysia dilihat mula bergerak sekitar ibu kota untuk membuat sekatan jalan raya bagi membantu pihak polis dalam Ops Covid-19 pada hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara -2 peratus hingga 0.5 peratus tahun ini.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, ini adalah akibat kelembapan permintaan global, gangguan rangkaian bekalan dan langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang diambil kerajaan Malaysia dan antarabangsa.

Bank Negara katanya menjangkakan ekonomi Malaysia akan kembali pulih pada 2021 sejajar dengan unjuran pemulihan global.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah mempromosikan penjarakan sosial boleh menjejaskan aktiviti ekonomi namun ia merupakan langkah perlu bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

“Dengan itu, dua pakej rangsangan iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat serta langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak bank tempatan dijangka mampu mengurangkan impak ekonomi akibat wabak tersebut.

“Langkah-langkah fiskal itu bakal memberikan sokongan yang besar kepada isi rumah dan perniagaan,” katanya semasa sidang video membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 serta Laporan Tahun BNM 2019 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019.

Nor Shamsiah Mohd Yunus

Tambah Nor Shamsiah, langkah-langkah yang telah diperkenalkan kerajaan dan bank-bank itu dijangka menambah 2.8 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK tahun ini.

Selain itu, projek-projek infrastruktur berskala besar dijangka turut menokok satu mata peratusan kepada pertumbuhan negara pada 2020.

Tambahnya, bank pusat itu akan sentiasa memantau dan menilai perkembangan pandemik yang melanda dunia itu serta impaknya terhadap ekonomi.- MalaysiaGazette