Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan stabil berbanding dolar US pada minggu depan dalam jajaran antara 4.25 peratus dan 4.45 peratus, menurut Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan.

Beliau berkata, pemacu utama bagi ringgit termasuklah prestasi dolar US, reaksi pasaran minyak ke atas mesyuarat kumpulan pengeluar OPEC+ dan sentimen risiko yang lebih luas.

OPEC+ terdiri daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan 11 negara bukan anggota OPEC.

“Mesyuarat OPEC+ akan memberi tumpuan kepada pasaran minyak, di tengah-tengah harapan bahawa penurunan bekalan yang selaras akan dilaksanakan untuk membantu kestabilan harga pasaran.

“Pengeluar minyak utama perlu mengekang asas yang semakin merosot untuk meningkatkan kemampanan harga. Harga minyak yang lebih kukuh akan membawa lebih banyak sokongan kepada prestasi ringgit dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Han Tan berkata, Covid-19 masih terus membadai pasaran global.

Walaupun China bersedia menghapuskan langkah kuarantin di Wuhan pada Rabu, ia dijangka memberikan sedikit kelegaan kepada pelabur global memandangkan pandemik itu terus menjejaskan ekonomi-ekonomi utama.

“Dengan kebimbangan di peringkat global mengenai kemelesetan yang kini diperakui oleh data ekonomi yang masuk, pengelakan risiko dijangka kekal dalam mod dominan di pasaran global, yang akan mengekalkan tekanan menurun bagi mata wang Asia,” kata beliau.

Sementara itu, Han Tan berkata, pasaran mata wang dijangka menyaksikan turun naik yang berkurangan pada minggu depan berikutan Rizab Persekutuan AS membenarkan bank-bank pusat asing menukar US Treasury kepada dolar US untuk sementara waktu, mulai Isnin.

Bagi minggu yang baru berakhir, prestasi ringgit berbanding dolar US adalah dalam jajaran 4.30-4.38, berikutan pasaran mata wang yang terus memberi tindak balas ke atas kelemahan ekonomi akibat COVID-19.

Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar US kepada 4.3520/3620 pada Jumaat daripada 4.3280/3350 pada minggu sebelum ini.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, prestasi mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0319/0399 daripada 3.0175/0234 pada minggu sebelum ini dan turun kepada 4.0118/0221 daripada 3.9754/9829 berbanding yen Jepun.

Unit tempatan bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 4.7049/7175 daripada 4.7608/7702, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.3495/4631 daripada 5.2841/2943 sebelum ini. – MAlaysiaGazette