Datuk Kamaruddin Jaafar

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini memaklumkan seramai 6,749 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 buah negara telah berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, ia dilakukan dengan pembiayaan kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta mahupun secara persendirian.

“Terkini, pada 5 dan 6 April lalu, seramai 444 rakyat Malaysia yang terkandas telah selamat kembali ke tanah air.

“Selain itu, seramai 40 orang rakyat Malaysia, iaitu kumpulan kedua dari New Zealand dijadualkan tiba menerusi penerbangan MH144 pada jam 7.30 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, seramai 1,025 orang rakyat Malaysia masih direkodkan terkandas di 20 buah negara.

Kamaruddin juga berkata, pihak kementerian dan perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara akan terus memainkan peranan proaktif dan memudahcara urusan yang berkaitan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, sejumlah 161 rakyat Malaysia yang menyertai program tabligh di India kini dikuarantin.

Daripada jumlah ini, seramai 126 orang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin di New Delhi manakala 35 yang lain dikuarantin di luar New Delhi.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin memaklumkan, Wisma Putra telah ambil maklum berhubung penahanan oleh pihak berkuasa India terhadap beberapa orang rakyat Malaysia yang sepatutnya menaiki penerbangan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi semalam.

“Penahanan tersebut adalah ekoran daripada keputusan kerajaan India untuk
melaksanakan proses kuarantin ke atas semua rakyat asing yang menyertai perhimpunan
tabligh di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac 2020,” jelas Kamaruddin lagi.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi katanya, sentiasa berhubung dengan pihak kerajaan India bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terjaga selain berusaha menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Mengenai perintah berkurung separa yang telah bermula Jumaat lalu, Kamaruddin berkata, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sedang mendapatkan statistik terkini mengenai jumlah pekerja Malaysia yang masih berada di negara itu.

“Dianggarkan seramai 25,000 rakyat Malaysia masih berada di Singapura. Kerajaan Malaysia amat prihatin dengan situasi dan cabaran yang sedang ditempuhi oleh rakyat Malaysia di Singapura khususnya ketika kedua-dua negara menggiatkan usaha menangani penularan Covid-19.

“Kementerian Luar Negeri bersama-sama agensi pusat yang lain juga sentiasa berhubung rapat dengan Kerajaan Negeri Johor dalam mempermudahkan urusan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, Singapura menerusi Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong melaksanakan perintah menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan sebagai sebahagian daripada langkah ketat untuk mengekang peningkatan jangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette