IPOH – Bangkai seekor ikan lumba-lumba dipercayai spesies ‘Bottlenose’ ditemukan terdampar di atas batu di Pantai Ban Pecah, Kuala Kurau, yang terletak kira-kira 110 kilometer dari sini, tengah hari tadi.

Ketua Pangkalan Jabatan Perikanan Kuala Kurau Nazri Mohd Noh berkata empat anggota dari Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan Kuala Kurau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat itu dari nelayan setempat pada pukul 12 tengah hari.

“Ikan sepanjang 2.23 meter dengan anggaran berat 80 kilogram dipercayai telah mati beberapa hari (lepas) berdasarkan keadaannya ketika ditemui.

“Susulan itu bangkai ikan tersebut telah dilupuskan dengan cara ditanam di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Beliau berkata punca kematian mamalia itu masih dalam siasatan.- BERNAMA