Pekerja menunjukkan air yang dirawat di loji rawatan air larut resapan ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Pengguna Air Selangor kini boleh mendapatkan bil air masing-masing menerusi aplikasi Whatsapp.

Perkara itu diberitahu, pengurusan Air Selangor yang menyatakan khidmat tersebut telah bermula sejak 1 April lalu.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata, untuk mendapatkan perkhidmatan itu pengguna hanya perlu mendaftar dalam talian, e-bil atau mengemas kini maklumat di laman sesawang https://update.airselangor.com.

“Pelanggan yang memilih untuk menggunakan Whatsapp perlu memastikan nombor telefon yang didaftarkan di laman sesawang adalah betul dan boleh menerima mesej,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Air Selangor mula melaksanakan e-bil sejak 2018 bagi memudahkan pelanggan mendapatkan bil dengan lebih cepat sama ada melalui e-mel atau aplikasi yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play.

Pelanggan juga boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram) serta layari www.airselangor.com untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette