Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Wabak Covid-19 kini telah berada dalam komuniti di negara ini kerana ada pesakit sudah disahkan positif meskipun tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tiada kaitan dengan mana-mana kluster yang dikenalpasti.

“Ada sebab kes pertama yang kita kesan kita laksanakan pengesanan  berjadual setiap hari. Untuk kes ILI  (penyakit seperti Influenza) dan kes SARI (jangkitan pernafasan akut teruk), yang demam biasa datang ke klinik kita akan uji untuk Covid-19 dan juga mereka yang ada severe acute yang belum disahkan Covid-19 kita saring.

“Pada mulanya, memang tidak ada dalam komuniti masa itu kita masih di peringkat pembendungan fasa awal tetapi di Kuantan, Pahang yang dikesan iaitu kes SARI, dia tidak ada sejarah, dia dirawat di ICU kita uji dia positif Covid-19.

“Ini beerti virus Covid-19 ini sudah ada dalam komuniti kita bukan dekat luar negara sahaja, ia sudah sampai dalam komuniti kita itu sebab kita galak semua orang duduk di rumah jadi kita akan putuskan rantaian jangkitan daripada seorang ke seorang,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Oleh sebab itu ujarnya, penting untuk masyarakat bekerjasama memutuskan rantaian wabak ini  dengan kekal duduk di rumah.

Kata Noor Hisham matlamat utama Kementerian Kesihatan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 adalah mengurangkan  peningkatan kes mendadak, agar fasiliti perubatan mampu memberi rawatan terbaik dengan jumlah pesakit sedia ada.

“Kalau kes mendadak tidak meningkat maksudnya hoapital kita klinik kita berkemampuan memberi rawatan terbaik.

“Bayangkan kalau satu hari kita ada 2,000 kemasukan pesakit di wad beerti kemampuan kita di hospital dan juga rawatan rapi mungkin tidak cukup pesakit tidak akan diberikan rawatan yang terbaik,” tambahnya. -MalaysiaGazette