Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihati rakyat Malaysia supaya jangan berputus asa seterusnya mengubah cara hidup kesan daripada penularan Covid-19 di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu mahu rakyat berkorban dengan tidak mengharapkan imbuhan pada nilai sama berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pandemik itu bukan saja menjejaskan perniagaan di negara ini tetapi turut memberi impak kepada pekerja termasuk kehilangan pekerjaan.

“Salah satu perkara yang kita perlu terima hakikat, jika perniagaan tidak berjalan dengan baik, maka anda tidak lagi boleh mengharapkan dibayar dengan nilai yang sama lagi. Kita semua akan memperoleh pendapatan yang rendah.

“Disebabkan itu kita kena ubah cara hidup, kita tidak lagi boleh berharap untuk mengamalkan gaya hidup seperti dahulu lagi, yang sebelum ini memerlukan wang. Apabila kurangkan aktiviti yang memerlukan wang, keperluan tanggungan anda akan semakin berkurangan.

“Bahkan, anda boleh meneruskan kelangsungan hidup dengan nilai gaji lebih rendah. Ini bermakna anda bukan sahaja boleh meneruskan kehidupan, tetapi majikan juga tidak tertekan untuk perlu membayar gaji anda dengan kadar yang sama lagi,” katanya dalam siaran langsung MyPerintis: A Morning Tea With Tun M hari ini.

Mahathir seterusnya berkata, peluang pekerjaan baru yang boleh dijadikan sumber pendapatan buat pekerja terjejas.

“Ada pekerjaan yang dihentikan seketika pada masa ini kerana tidak ada permintaan dan majikan tidak boleh menggaji lebih ramai pekerja kerana pada masa ini mereka tidak membuat sebarang keuntungan, contohnya syarikat penerbangan.

“Bagi mereka yang terjejas, bidang lain yang harus dilihat dan diceburi adalah bidang ‘delivery’ (penghantaran).”

Bagaimanapun, katanya, mereka yang memiliki kemahiran tertentu tidak perlu bimbang akan terjejas akibat Covid-19 kerana masih boleh berbuat demikian tetapi di lokasi berbeza.

“Jika anda sebelum ini merupakan tukang masak di hotel, kali ini anda masih boleh lakukan perkara sama tetapi di rumah.”

Beliau juga meminta rakyat tidak menuding jari kepada China yang merupakan negara pertama terkesan dengan virus itu.

“Sekarang ini ada yang hendak salahkan China tetapi bila kita tahu China lebih berjaya tangani masalah ini berbanding negara-negara lain, apa yang lebih baik dilakukan adalah kita belajar dari China macam mana hendak hadapi masalah ini.

“Tidak mendatangkan apa-apa keuntungan pada kita jika kita terus menyalahkan orang lain. Lebih baik kita kenal pasti apa yang menyerang kita dan berusaha mencari jalan untuk atasinya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Mahathir, mana-mana perniagaan tidak akan terjejas malah masih boleh menghasilkan produk masing-masing jika sistem penghantaran berjalan dengan sempurna.

Atas sebab itu, katanya, industri kargo ketika tempoh pandemik Covid-19 sangat penting.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.