Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta supaya berlapang dada dengan memberikan kerjasama kepada semua petugas kerajaan di barisan hadapan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam, Adnan Mat berkata, sokongan dan kerjasama daripada setiap rakyat amat diperlukan bagi memastikan kejayaan negara menyekat penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun beliu berkata, pihaknya kesal terhadap segelintir masyarakat yang masih tidak memahami tugas penjawat awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung ketika ini.

“CUEPACS menerima aduan masih terdapat segelintir pihak yang ingkar arahan semasa PKP.

“Ramai juga yang mengeluarkan kata-kata jelek kepada anggota penguatkuasa yang bertugas. Malah, ada yang membuat hantaran mencabar pihak berkuasa di media sosial hanya kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Sebagai rakyat tidak kira pangkat, kedudukan atau status perlu memberi kerjasama yang baik kepada anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas sebaiknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adnan berkata, rakyat perlu tahu bahawa petugas kerajaan di barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas 24 jam sehari secara bergilir untuk memastikan keadaan negara terkawal.

Malah katanya, ada dalam kalangan mereka yang bekerja hampir 24 jam dan terpaksa meninggalkan keluarga hanya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia.

“Janganlah kita sengaja mencabar kesabaran petugas barisan hadapan. Kurangkan provokasi seolah-olah mahu melanggar undang-undang dan mencabar kesabaran petugas barisan hadapan,” ujarnya.

Pada masa sama Adnan meminta agar setiap ketua jabatan yang terlibat membuat pertimbangan sewajarnya sebelum meletakkan kesalahan di bahu penjawat awam sahaja.

Katanya, ini termasuk mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh melunturkan motivasi kerja pejawat awam.

“Setiap keputusan yang dilakukan tidak boleh bertujuan untuk menjaga hati rakyat sedangkan petugas barisan hadapan melaksanakan tugas dengan baik mengikut situasi semasa yang memerlukan.

“Sokongan ketua jabatan amat diperlukan dalam situasi penjawat awam yang berhadapan tekanan kerja tinggi ketika ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette