Dr. Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi memerangi penularan Covid-19 didakwa telah memberi kesan positif kepada masyarakat.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, sejak perintah itu dilaksanakan pada 18 Mac lalu, masalah salah laku berkurangan dan hubungan kekeluargaan pula menjadi lebih akrab dan intim.

Rais berkata, tiada lagi kelibat mat rempit dan penunggang motosikal tanpa lesen ditahan anggota keselamatan sepanjang tempoh PKP.

“PKP melahirkan beberapa kesan membina. Kelam kabut mat rempit tiada, penunggang motosikal tanpa lesen takut keluar,” katanya dalam akaun Twitter.

Sebaliknya, tambah Rais, penduduk negara ini mula memikirkan secara mendalam mengenai soal hidup dan mati sejak Covid-19 menular di negara ini.

“Manusia mula berfikir secara mendalam tentang hidup-mati, ketuhanan dan alam semesta.

“Justeru suami isteri dan kaum keluarga bertambah intim dan mesra, semoga ia berterusan selepas 14 April nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette