Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapuran pulang ke negara ini, selagi kedua-dua negara belum selesai rundingan bagi menetapkan syarat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Dr. Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kedua-dua negara telah membuat perjanjian setiap rakyat Malaysia yang hendak pulang perlu menjalani saringan ujian Covid-19.

“Setakat ini, walaupun puluhan ribu rakyat Malaysia di Singapuran berhasrat hendak pulang, tetapi saya dimaklumkan, hanya tiga orang sahaja yang (berjalan kaki) merentasi sempadan.

“Arahan dari kita adalah mereka tidak boleh pulang selagi tidak mendapat kelulusan yang mengatakan mereka bebas Covid-19 dari kerajaan Singapura.

“Ini merupakan perjanjian awal kita dengan kerajaan Singapura, iaitu sebelum mereka pulang ke Malaysia, mesti membuat saringan. Kerajaan Singapuran akan mengeluarkan surat yang mengesahkan mereka ini sudah melalui saringan tersebut ataupun negatif dari wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai penularan wabak Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Semalam, media melaporkan terdapat pergerakan oleh rakyat negara ini yang bekerja di Singapura untuk pulang ke Malaysia dengan berjalan kaki merentasi Tambak Johor.

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, terdapat sedikit perubahan dari segi perjanjian itu dan Kementerian Luar negara ini bersama wakil Kementerian Sumber Manusia akan berunding dengan rakan sejawatannya daripada segi syarat baharu.

“Mungkin pagi esok Kementerian Luar akan memaklumkan kepada kerajaan mengenai syarat yang telah dipersetujui itu.

“Apapun, sehingga ini kita tidak benarkan lagi rakyat balik sebelum diselesaikan rundingan antara kedua negara termasuk kerajaan Johor untuk mendapatkan penyelesaian terbaik,” katanya.

Mengenai lebih 200 pelarian Rohingya yang dilaporkan mendarat di Pantai Teluk Nibong, Langkawi semalam, beliau berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengkuarantinkan mereka di situ.

Katanya, oleh kerana mereka sudah berada di negara ini, maka menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menjaga kepentinga mereka.

“Mereka akan dikuarantinkan di Langkawai dan kita meminta Kementerian Luar, Jabatan Imigresen Malaysia dan NADMA untuk membantu menyelesaikan ke situ,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, lebih 200 pelarian itu dilihat menaiki bot berdekatan kawasan pesisir sebelum berenang menuju ke pantai beramai-ramai.

Kejadian disedari penduduk Kampung Kuala Teriang yang kemudian memaklumkan kepada polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). – MalaysiaGazette