Aria (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di ibu negara.

KUALA LUMPUR – SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini telah mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM300,000 dan sumbangan korporat berjumlah RM50,000 kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ia merupakan tanggungjawab korporat Bank SME bagi membantu mereka yang berkorban masa dan nyawa di barisan hadapan demi memastikan rakyat Malaysia selamat dan dilindungi dengan baik bersama keluarga mereka.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sumbangan zakat berjumlah RM300,000 serta sumbangan korporat sebanyak RM50,000 berkenaan sudah pasti akan membantu meringankan beban kerajaan yang sangat memerlukan dana bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan perubatan di waktu negara sedang dilanda krisis Covid-19 ini.

“Inisiatif yang diambil oleh SME Bank adalah respons kepada seruan Kerajaan agar semua agensi dan badan bukan Kerajaan berganding bahu dalam membantu Kerajaan melawan pandemik COVID-19 ini.” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Wan Junaidi, wang zakat telah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak RM100,000 masing-masing.

Manakala jelasnya, Hospital Serdang dan Hospital Universiti Sains Malaysia; Hospital Sungai Buloh serta Hospital Kuala Lumpur melalui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut menerima sebanyak RM25,000 setiap organisasi menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM300,000.

Menurutnya, bagi wang sumbangan RM50,000 pula, ianya telah diberikan untuk inisiatif #responsMalaysia di bawah kendalian Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pihaknya telah memilih organisasi itu untuk menyalurkan zakat dan sumbangan korporatnya memandangkan organisasi ini berada di barisan hadapan untuk membantu memerangi Covid-19.

“Secara ringkas, dana ini akan digunakan untuk pembelian peralatan perubatan khas para petugas barisan hadapan kesihatan bagi merawat pesakit Covid-19 serta membantu
meringankan beban mereka yang terputus pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selain itu, sumbangan terus kepada Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur melalui ABIM juga akan digunakan bagi membiayai pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE), lain-lain peralatan kesihatan, bahan-bahan sanitasi serta kelengkapan hostel bagi pekerja barisan hadapan,” tegas Aria lagi.

Pada tahun 2019, SME Bank turut mengagihkan zakat berjumlah RM1.16 juta kepada lapan rakan strategiknya yang terdiri daripada tiga hospital awam dan lima institusi pengajian tinggi awam sebagai usaha membantu golongan asnaf yang disasarkan.

Sumbangan zakat SME Bank kepada NADMA telah disampaikan oleh Wan Junaidi kepada Koperasi kepada Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd. Abdul Rahman di sebuah majlis di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette