Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menggalakkan orang ramai khususnya mereka yang baru pulang dari luar negara menjalani ujian saringan jangkitan Covid-19 menggunakan ujian antibodi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia bagi mengelakkan insiden kluster baharu di Kuching, Sarawak berulang dengan membenarkan pesakit discaj daripada wad.

“Mungkin salah satu faktor kenapa kita tak menggalakkan menggunakan Rapid Test Kit yang berdasarkan kepada ujian antibodi.

“Jangkitan itu mungkin salah satu faktor, kerana masa itu dia dimasukkan di pusat perubatan swasta dan mereka menggunakan ujian antibodi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KKM, hari ini.

Beliau mengulas kluster baharu di Kuching, Sarawak melibatkan kes ke-1580 yang baru pulang dari Itali dan dibenarkan discaj daripada wad.

Pesakit ini diarahkan kuarantin diri selama 14 hari di rumah, bagaimanapun dia ingkar dan bekerja seperti biasa di sebuah bank tempatan.

Kemudian, dia telah menjangkiti rakan sepejabatnya dan mengakibatkan rakannya kehilangan lima ahli keluarga.

Dalam pada itu, jelas Noor Hisham, kes ke-1580 itu dibenarkan discaj walaupun keputusan ujian real time polymerase chain reaction (RT-PCR) tidak diperolehi lagi.

“Bila ujian menggunakan antibodi itu negatif, dia discaj pesakit itu, tapi keputusan RT-PCR tak balik lagi.

“Bila pesakit discaj, walaupun pesakit itu antibodi tiada, tapi kuman (Covid-19) dia ada, jadi kita tak kesan kuman itu.

“Pesakit pula dibenarkan pulang, bila pulang ke rumah, dia jangkiti keluarga pula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette