SUBANG JAYA – Pengeluar beras, Faiza Sdn Bhd mencatatkan peningkatan 30 peratus produk berasnya pada Mac lalu.

Berikutan itu, Pengurus Kanan Pemasarannya, Jadwa Abu Bakar berkata, syarikat telah mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan kelewatan penghantaran kepada pemborong dengan menyewa lori tambahan.

Tambahnya, kini lima kilang berasnya di Johor, Perak, Selangor, Kedah dan Terengganu beroperasi setiap hari supaya beras dapat diagih kepada pemborong bagiĀ  memenuhi permintaan pasaran.

“Peningkatan memang banyak, bulan Mac kenaikan permintaan lebih 30 peratus berbanding bulan-bulan sebelum itu tapi alhamdulillah kita masih dapat memenuhi lagi.

“Cuma kadang-kadang kita tidak dapat buat penghantaran tempahan tepat pada masanya kini, sebab pengeluaran mesin kita perlu ikut kapasitinya, alhamdulillah bekalan mentah cukup cuma penghantaran jadi lambat sedikit.

“Bila tempahan terlampau tinggi diterima, jadi kita kena ikut giliran, tidak boleh hantar serentak, bayangkan kenaikan permintaan yang mendadak, kapasiti mesin kita masih sama, lori masih sama, sekarang kita ambil (sewa) juga lori-lori luar untuk cepatkan penghantaran,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Program Tinjauan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (II), Datuk Che Abdullah Mat Nawi di kilang beras syarikat itu di sini hari ini.

Meskipun mencatatkan peningkatan tempahan daripada pemborong, Jadwa berkata, syarikat tidak mengalami masalah bekalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu. – MalaysiaGazette